KPDNHEP TAWAU SARAN PENGGUNA PERLU BIJAK, LAPOR PERLANGGARAN PEMATUHAN PENJUALAN OLEH PENIAGA

KPDNHEP TAWAU SARAN PENGGUNA PERLU BIJAK, LAPOR PERLANGGARAN PEMATUHAN PENJUALAN OLEH PENIAGA

TAWAU; 18 OKTOBER 2019 (Jumaat) – Pengguna di Tawau disaran agar lebih bijak memilih dalam urusan pembelian barangan termasuk makanan laut susulan tular di media sosial Facebook dakwaan seorang pengguna membeli ikan disyaki buruk di Pasar Ikan Tawau, kelmarin.

Timbalan ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau, Yapp Kon Fatt berkata, perkara itu bagi menangani pengguna daripada menjadi mangsa kepada peniaga yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Beliau berkata, para peniaga juga telah dinasihati agar mengasingkan ikan yang elok dan yang telah rosak atau buruk selain meletakkan penandaan harga yang bersesuaian mengikut kualiti sesuatu sumber laut berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM selepas menjalankan operasi Bersepadu bersama Jabatan Perikanan dan Pejabat Kesihatan Persekitaran Tawau (PKPT) di Pasar ikan di Tawau.

Dalam pada itu, pengguna juga diharap agar menyalurkan sebarang aduan kepada pihak KPDNHEP berkaitan perlanggaran pematuhan penjualan oleh peniaga termasuk penggunaan alat timbang dan sukat agar mereka boleh dikenakan tindakan mengikut penguatkuasaan undang-undang.

katanya, hasil pemeriksaan ke atas 180 gerai di Pasar berkenaan turut mendapati kesemua peniaga mematuhi peraturan perletakan tanda harga pada jualan selain penggunaan alat timbang dan sukat masih sah.

Dalam pada itu, Ketua Pangkalan Utama Jabatan perikanan Tawau, Laester Bulun berkata, operasi dua jam bermula pukul 9 pagi tadi itu bertujuan menjawab aduan awam berkenaan penjualan ikan yang disyaki telah rosak selain penjualan makanan laut hasil penggunaan bom ikan.

Sementara itu, para pengguna di Tawau berharap agar peniaga-peniaga yang menjual sumber makanan harian lebih bersifat lebih jujur bukan hanya mengutamakan keuntungan dan perolehan kewangan semata-mata berikutan Pasar Ikan Tawau antara dikenali sebagai tempat penjualan sumber hasil laut yang segar.

Tinjauan RTM di Pasar ikan terbabit mendapati hanya segelintir peniaga sahaja yang menjual ikan dengan kualiti yang kurang memuaskan atau rosak. -BESTAWAUfm

Komen