KPDNHEP Tawau rekod 86 kes, rampasan RM294,214 sejak Januari

KPDNHEP Tawau rekod 86 kes, rampasan RM294,214 sejak Januari

TAWAU, 10 Mei (Bernama) — Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau mengesan 86 kes berkaitan pelbagai kesalahan perdagangan termasuk tidak meletak tanda harga bagi tempoh dari Januari sehingga hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Aslani Dabi berkata kes-kes itu dikesan hasil pemeriksaan di lebih 1,000 premis sekitar daerah ini termasuk Kalabakan.

“Ia termasuk kes-kes berkaitan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, yang merangkumi nilai keseluruhan rampasan RM294,214 dan kompaun RM13,250,” katanya ketika ditemui pemberita pada Progran Pemeriksaan Ops Bazar Ramadan Tahun 2019 di tapak bazar ramadan Sabindo di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga KPDNHEP turut menerima 44 aduan kes dengan 39 berjaya diselesaikan dan selebihnya dalam siasatan.

Sementara itu merujuk kepada bazar Ramadan, Aslani berkata ada 13 lokasi tapak bazar Ramadan di daerah sini dan pihaknya telah menjalankan pemeriksaan keatas 358 gerai di bazar-bazar berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan Ops Bazar Ramadan yang berkuatkuasa 7 Mei sehingga 4 Jun depan itu membabitkan 23 anggota penguatkuasa KPDNHEP Tawau.

— BERNAMA

Komen