KONVOI PRBM DUTA KECIL PROMOSI TAHUN MELAWAT TAWAU 2019

KONVOI PRBM DUTA KECIL PROMOSI TAHUN MELAWAT TAWAU 2019

Assafal (baju putih) bersama Ahli Jawatakuasa PRBM di majlis pelancaran konvoi PRBM di Perkarangan MPT di Tawau. Gambar SNT/Ehsan PRBM

TAWAU: Konvoi Jalinan Kasih Malaysia Ke Sulawesi Indonesia pacuan empat roda merupakan “Duta Kecil Sabah” dalam meningkatkan promosi Tahun Melawat Tawau 2019.

Pembantu Menteri, Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Assafal Panglima Alian berkata konvoi yang dianjurkan Kelab Pacuan Empat Roda Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PRBM) dilihat satu langkah terbaik kementeriannya untuk menarik minat masyarakat Sulawesi Indonesia berkunjung ke daerah Tawau tahun depan.

Katanya kebersamaan dalam sosio ekonomi, budaya, bahasa, hubungan kekeluargaan dengan masyarakat setempat serta anutan agama merupakan faktor utama daerah Tawau merupakan lokasi wajib untuk dikunjungi mereka.

Assafal berucap di majlis pelancaran Konvoi PRBM di Perkarangan MPT di Tawau. Gambar SNT/Ehsan PRBM

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pelepasan Konvoi Jalinan Kasih (PRBM), di Perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) di sini, kelmarin.

Assafal berkata sepanjang konvoi tersebut PRBM akan mengedarkan risalah serta maklumat berkaitan daerah Tawau sekaligus bertekad untuk membantu meningkatkan kefahaman masyarakat di Sulawesi Indonesia kewujudan masyarakat berbilang kaum di negeri Sabah.

“Peserta konvoi akan mempersembahkan beberapa tarian membabitkan suku kaum Kadazandusun serta tarian daripada pelbagai etnik Sabah merupakan kelebihan dalam siri jelajah kali ini.

“Kementerian Pelancongan sudah bekalkan barangan cenderamata, baju t-shirt serta barangan lain kepada peserta konvoi dengan harapan mereka dapat menarik minat masyarakat di sana datang ke Sabah dan daerah Tawau amnya,” katanya.

Assafal menekankan kepada peserta konvoi agar sentiasa mematuhi peraturan serta perundangan kedua-dua negara agar menjaga keharmonian dalam kedua-dua negara.

Konvoi membabitkan 39 unit kenderaan pacuan empat roda akan menjelajah selama 21 hari iaitu bermula semalam sehingga 19 Disember depan juga melakukan kerja-kerja amal termasuk membersihkan surau serta rumah anak yatim. –sabahnewstoday

Komen