KOMANDO TDM MENINGGAL DUNIA TERKENA TEMBAKAN KETIKA DEMONSTRASI

KOMANDO TDM MENINGGAL DUNIA TERKENA TEMBAKAN KETIKA DEMONSTRASI

KOTA KINABALU: Seorang Komando dari pasukan elit Tentera Darat Malaysia (TDM) yang melakukan demonstrasi pengoperasian sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Lok Kawi, pagi tadi, meninggal dunia selepas terkena tembakan.

Sabah News Today difahamkan, allahyarham adalah anak kepada pelakon dan pelawak popular tanah air, AR Badul.

Saat kemalangan Mejar Zahir (kiri) yang berlakon sebagai penganas ditembak. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi itu, Pegawai 11 Regimen Gerakan Khas, Mejar Zahir Armaya, 36 itu berlakon sebagai pengganas sambil memakai baju kalis peluru terlebih dahulu mengacukan samurai sebelum melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup ke arah pasukan Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia.

Selepas itu, salah seorang anggota dalam pasukan tentera itu kemudian membalas tembakan hingga menyebabkan Mejar Zahir rebah.

Namun tembakan balas tersebut tersasar ke bahagian atas plet baju kalis peluru dan terkena bahagian belakang Mejar Zahir.

Pegawai itu kemudian dibawa ke tepi padang kawad dalam keadaan berlumuran darah sebelum diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera lain.

Mejar Zahir kemudiannya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) menggunakan ambulan.

Keadaan sedikit suram susulan kejadian itu sebelum majlis diteruskan dengan penyerahan bendera kepada Penglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Penglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Difahamkan, selepas majlis itu, satu sidang media sepatutnya diadakan namun terpaksa dibatalkan.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah ketika ditemui enggan mengulas lanjut dan difahamkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.-SabahNewsToday

Sumber: SabahNewsToday

https://www.sabahnewstoday.com/komando-tdm-meninggal-dunia-terkena-tembakan-ketika-demonstrasi/

Komen