KKIP BINA AUTOCITY DAN LITAR DRAG RACE

KKIP BINA AUTOCITY DAN LITAR DRAG RACE

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan kabinet negeri lain serta ahli-ahli dewan selepas Bajet Negeri 2019 diluluskan hari ini. Gambar SNT/Ehsan TKM

KOTA KINABALU: Projek pembangunan Auto City yang meliputi pembinaan litar ‘Drag Race” dengan nilai kasar RM153 juta akan dibina di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Projek ini juga termasuk pembinaan bengkel
pengkhususan, ruang pameran kereta, garaj pelumba yang mana ianya akan membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat di dalam perkhidmatan dan produk-produk automatif seperti alat ganti dan lain-lain.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata K.K.I.P Sendirian Berhad akan meneruskan projek-projek baru yang berpotensi untuk merancakkan iklim perniagaan dan perindustrian.

Menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada hari ini Madius berkata pembinaan Pusat Latihan Juruteknik Aeroangkasa untuk membangunkan tenaga manusia mengendalikan penyelenggaraan dan pembaikan kapal terbang akan juga dibina tidak lama lagi.

Mempunyai keupayaan melatih 250 orang pelajar setiap tahun, ianya merupakan pusat latihan dengan rakan teknologi
antarabangsa, katanya.

Setakat ini KKIP telah menjual sebanyak 156 unit kilang-kilang siap bina.

Madius berkata kerajaan negeri akan mengambil langkah untuk membangunkan ekonomi digital seiring dengan penekanan kepada Revolusi Industri 4.0 atau IR4.0 yang merupakan integrasi dunia digital dengan dunia nyata atau fizikal.

“Perlaksanaan e-dagang akan membolehkan pembangunan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang akan menyediakan persekitaran
yang kondusif bagi syarikat-syarikat yang berlandaskan ekonomi digital memasarkan produk-produk mereka ke pasaran yang lebih luas tanpa sempadan.

“Dengan penerokaan baru yang dirancang untuk dibangunkan oleh K.K.I.P Sendirian Berhad, ianya akan memberikan peluang yang besar kepada PKS tempatan untuk mengembangkan perusahaan dan perniagaan
mereka,” katanya.

Beliau berkata bagi membangunkan sektor pembuatan, selain dari terus berusaha
membawa pelabur-pelabur dari dalam negeri dan dari luar negeri, Kementerian beliau juga akan terus memberikan fokus yang utama ke atas pembangunan PKS di negeri Sabah. -SabahNewsToday

Komen