Kisah pengait, pemburu kepala perlu dikaji, dibukukan

Kisah pengait, pemburu kepala perlu dikaji, dibukukan

KOTA KINABALU: Kisah pemburu kepala yang dipanggil pengait atau tonggorib dalam masyarakat Kadazandusun pastinya menimbulkan kegerunan kepada pendengar.

Bagaimanapun, pemburuan kepala yang pernah menjadi amalan etnik Kadazandusun dan Murut itu lebih banyak tersimpan dalam cerita lisan dan perbualan yang ada kalanya bertujuan menakut-nakutkan orang terutama kanak-kanak.

Justeru penganjuran Pitimbungakan Sejarah Sabah Siri Pertama di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini diharap dapat memperluas penyelidikan dan dokumentasinya.

Pitimbungakan yang dalam bahasa Kadazan bermaksud perbahasan itu, dianjurkan atas inisiatif Arkib Negeri Sabah dengan kerjasama Muzium Sabah dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang bertujuan mengumpul maklumat berkaitan kegiatan pemburuan kepala.

Pitimbungakan yang dirasmikan Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Jannie Lasimbang itu, menjadi usaha permulaan bagi menggalakkan lebih ramai pengkaji sejarah, budaya dan warisan melakukan kajian serta penghasilan buku mengenai pemburu kepala.

PEMBANTU Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Jannie Lasimbang. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

Dua pakar budaya dan adat isitiadat masyarakat Kadazandusun Murut, iaitu Pengarah Eksekutif Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut (KDCA), Dr Benedict Topin dan Presiden Persatuan Tinagas Sabah (PTS), Orang Kaya-Kaya (OKK) Mohd Din Selinggong berkongsi pengetahuan berkaitan amalan itu.

Jannie dalam ucapan perasmiannya berkata, amalan pemburuan kepala menjadikan Sabah dikenali sebagai antara lokasi di Borneo, selain Sarawak dan Kalimantan yang di seluruh dunia, manakala etniknya disegani sebagai orang yang berani.

“Dahulu kita malu apabila dikatakan berasal daripada etnik yang mengamalkan budaya memburu kepala tetapi di sebalik amalan itu, kita dilihat sebagai orang yang memiliki keberanian luar biasa hingga ada orang kata ‘jangan main-main, dia ada darah pemburu kepala.’

“Namun, sekarang apa yang penting bukanlah mengenai perbuatan memburu kepala tetapi sejarahnya dan usaha mendokumentasi budaya itu penting supaya nilai sejarahnya tidak hilang,” katanya pada acara yang turut dihadiri Pengarah Arkib Negeri Sabah, Mohamad Said Hinayat dan Pengarah Muzium Sabah, Mansur Asun.

SEBAHAGIAN tengkorak yang digantung dalam rumah di Pusat Kebudayaan Monsopiad, Penampang. – Arkib NSTP

SEBAHAGIAN tengkorak yang digantung dalam rumah di Pusat Kebudayaan Monsopiad, Penampang. – Arkib NSTP

Terdahulu, Mohamad Said berkata, perbahasan atau polemik mengenai pemburu kepala sebahagian topik budaya yang disenaraikan jabatan itu untuk dibincang menerusi siri Pitimbungakan Sejarah Sabah.

Sementara itu, Topin berkata, selain pengait dan tonggorib, kegiatan memburu kepala turut dikenali dengan beberapa sebutan seperti magarib (Lotud); sagawi (Tobilung); pandadau (Murut Nabai) dan maginggulu (Murut Delayan).

Beliau berkata, amalan itu turut dikaitkan dengan cerita korban manusia bagi mengukuhkan asas jambatan berdasarkan kepercayaan lama yang kononnya pembinaan sesuatu struktur yang boleh mengganggu sifat semula jadi sungai memerlukan korban kepala.

“Bagaimanapun, perkara ini hanya cerita generasi terdahulu yang tidak diketahui sama ada benar atau tidak, lagi pun tiada yang pernah mengaku menjadi pengait untuk tujuan itu.

“Ada juga beranggapan cerita itu hanya bertujuan menakut-nakutkan kanak-kanak supaya tidak keluar rumah.

“Memang dulu, ibu bapa selalu mengingatkan anak-anak supaya tidak keluar rumah dengan menjadikan cerita pengait atau tonggorib sebagai alasan, lebih-lebih lagi jika ada cerita mengenai pembinaan jambatan,” katanya. -Bharian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *