Kes penyakit, kematian akibat vape semakin meningkat di AS

Kes penyakit, kematian akibat vape semakin meningkat di AS

CHICAGO: Sumber kesihatan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kewujudan 530 kes dan tujuh kematian akibat penyakit paru-paru yang diakibatkan tabiat menghisap vape, tanpa sebarang tanda menunjukkan ia semakin berkurangan.

Jumlah ini semakin meningkat berbanding 380 kes dilaporkan minggu lalu ketika pihak berkuasa kesihatan menemui lebih banyak kematian dan penyakit berkaitan vape.

Sebanyak 3/4 kes membabitkan pesakit lelaki dan 2/3 daripadanya berusia antara 18 hingga 34 tahun.

Pengurusan Makanan dan Perubatan (FDA) AS kini sedang menyiasat lebih daripada 150 produk dan memulakan siasatan jenayah untuk mengkaji rantaian bekalan produk vape serta mengenal pasti punca peningkatan kes.

Pengarah Pusat FDA untuk Produk Tembakau, Mitch Zeller berkata, tiada individu dijadikan sasaran dan tiada sebarang penemuan bahan atau komponen termasuk tetrahydrocannabino (THC) atau asetat Vitamin e dikaitkan dengan semua kes setakat ini.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesahkan terdapat tujuh kematian berkaitan vape dengan dua dilaporkan di California serta masing-masing satu di Illinois, Kansas, Indiana, Minnesota dan Oregon.

“Kami menjangkakan lebih banyak kematian akan berlaku,” kata Timbalan Pengarah Utama CDC, Dr Anne Schuchat kepada wartawan.

Seorang lelaki Missouri berusia linkungan 40-an meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik awal minggu ini, iaitu kematian kelapan di AS dan yang pertama di Missouri, lapor sumber kesihatan negeri tengah hari semalam. – Reuters

Komen