KERAJAAN NEGERI DIHARAP TERUSKAN BINA EMPANGAN GUDANG EMPAT, BENDUNG KETIRISAN AIR DI TAWAU

KERAJAAN NEGERI DIHARAP TERUSKAN BINA EMPANGAN GUDANG EMPAT, BENDUNG KETIRISAN AIR DI TAWAU

TAWAU; 21 MARCH 2019 (Khamis) – Kerajaan negeri diharap meneruskan Perlaksanaan Projek Empangan Air di Gudang Empat Tawau bagi membendung ketirisan air yang membelenggu beberapa kawasan di daerah Tawau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Balung Datuk Osman Jamal berkata, difahamkan pembinaan empangan itu buat masa ini masih ditangguhkan berikutan terdapat perkara yang perlu diambilkira.

Katanya, sekiranya pembinaan empangan itu diteruskan dan siap, sudah tentu dapat menjamin keperluan air penduduk Tawau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Jurutera Air Bahagian Tawau, Asabri Robensen dan penduduk Bandar Sri Indah (BSI) di Jabatan Air Tawau.

Dalam pada itu, Datuk Osman berkata, beliau akan membawa perkara itu ke DUN termasuk beberapa projek lain di Tawau yang dianggap penting dan perlu dilaksanakan serta disegerakan.

Bagi penyelesaian jangka pendek menangani masalah bekalan air penduduk di Bandar Sri Indah yang berlarutan sejak 10 hari lepas Datuk Osman berkata, Jabatan air kini dalam usaha menyalurkan air dalam tempoh 24 jam menerusi loji Rawatan Air Balung.

Ini kerana katanya, kawasan BSI hanya mendapat bekalan air dari loji air Utara namun kini loji berkenaan mengalami kekurangan bekalan air disebabkan kekeringan sungai.

Mengulas lanjut, beliau berkata penduduk BSI telah mengalami masalah bekalan air sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, seorang wakil penduduk BSI yang ditemui Pemberita menzahirkan rasa berpuas hati terhadap keputusan yang diambil bagi memastikan penduduk BSI mendapat bekalan air.

Kira-kira lebih 50 penduduk BSI hadir ke
Jabatan Air Tawau hari ini untuk menyerahkan memorandum yang ditandatangani penduduk BSI berhubung krisis air di kawasan terbabit

Memorandum itu juga menuntut agar pembinaan Empangan Tawau di Gudang Empat disegerakan bagi menyelesaikan isu air di Tawau.

Dalam hal berasingan, Datuk Osman secara peribadi menyatakan tiada lagi sebarang kelulusan pembinaan perumahan sehingga masalah air di BSI selesai.

Sumber: BESTAWAUfm

Komen