Kerajaan negeri bantu pacu pembangunan Tawau

Kerajaan negeri bantu pacu pembangunan Tawau

TAWAU, 7 Okt – Kerajaan negeri akan memacu pembangunan dan kemajuan Tawau ke tahap membanggakan, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal.

Beliau berkata Tawau memiliki banyak potensi yang boleh ditingkatkan dalam sektor ekonomi setempat sekali gus menjana pendapatan kerajaan secara keseluruhan.

“Di bawah Sabah baharu mungkin ada gagasan, perancangan baru dan tentunya kerajaan sekarang juga mungkin akan menggunakan pelan perancangan masa depan Pembangunan Wilayah Selatan Sabah (PWSS),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, Tawau termasuk dalam PWSS dan ianya menumpukan kepada pembangunan 20 tahun ke hadapan untuk transformasi mengubah daerah-daerah di dalam PWSS menjadi lebih berdaya maju.

Jelasnya, Tawau juga mampu dibangunkan dari sektor pelancongan ekoran berada di kedudukan strategik sempadan dua buah kawasan negara jiran iaitu Mindanao, Filipina dan Kalimantan, Indonesia.

“Kalau kita boleh mewujudkan cabang pelancongan di daerah ini dengan berkesan seperti pelancongan kesihatan dan pelancongan sukan tentu ia akan menarik orang luar untuk datang ke daerah kita,” katanya.

— BERNAMA

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *