KERAJAAN KAJI KEPERLUAN BINA PARKIR BERTINGKAT SEBELAH HOSPITAL TAWAU

KERAJAAN KAJI KEPERLUAN BINA PARKIR BERTINGKAT SEBELAH HOSPITAL TAWAU

JAUJAN melihat pelan cadangan pembinaan parkir bertingkat untuk kemudahan pengunjung Hospital Besar Tawau.

TAWAU: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan pembinaan parkir bertingkat di Hospital Besar Tawau dalam usaha mengatasi masalah kekurangan tempat meletak kenderaan di situ.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata, pihaknya menyedari keperluan tersebut yang bukan sahaja untuk pesakit dan keluarga tetapi kakitangan hospital sendiri yang turut berdepan masalah sama.

“Setakat ini, kerajaan sudah mengenal pasti kawasan seluas 1.6 hektar milik sebuah jabatan kerajaan yang terletak bersebelahan hospital.

“Bagaimanapun, saya akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) terlebih dahulu, untuk mengenal pasti perancangan pembangunan yang akan dilakukan di situ,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, jika tiada sebarang perancangan dilakukan di situ, lebih baik ia dibangunkan sebagai tapak parkir bertingkat dan bangunan komersial di situ.

“Jika sudah ada perancangan, kita akan mencari tapak yang lebih sesuai untuk parkir bertingkat.

“Ketika ini, perancangan mampan dan strategi perlu dilakukan dalam usaha memastikan kelestarian pembangunan,” katanya. -Borneotoday

Komen