Kerajaan Filipina tangani isu bakar bendera sewajarnya

Kerajaan Filipina tangani isu bakar bendera sewajarnya

VIDEO Elly Pamatong membakar bendera Malaysia disiarkan dalam akaun Facebook ‘President Pamatong Supporters’ pada 19 dan 21 Januari lalu.

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Filipina akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani perbuatan orang awam membakar bendera Malaysia di negara itu seperti yang dipaparkan dalam sebuah klip video.

Kedutaan Filipina di sini, dalam satu kenyataan hari ini, berkata kedutaan tidak akan membiarkan kejadian itu dan menyesali bahawa ia menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

“Kedutaan mengulangi jaminannya yang benar-benar komited terhadap perkembangan hubungan dua hala yang sangat baik antara Filipina dan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kejadian membakar bendera itu dilakukan oleh seorang individu yang diketahui sudah melakukan banyak perkara kontroversi pada masa lalu dan tindakannya tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan Filipina.

Video kontroversi itu disiarkan dalam akaun Facebook ‘President Pamatong Supporters’ pada 19 dan 21 Januari lalu itu memaparkan Elly Pamatong, yang mengaku sebagai pengasas ‘United States Allied Freedom Fighters of the East’ (USAFFE), membakar bendera Malaysia.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) Sabah mengecam tindakan itu kerana ia adalah perbuatan yang keterlaluan, terkutuk dan penghinaan kepada negara serta rakyat Malaysia.

Presidennya, Brig Jen (K) RELA, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, berkata pihaknya membantah sekeras-kerasnya perbuatan keji itu dan meminta pihak berkuasa Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Elly.

Beliau turut meminta pejabat Kedutaan Filipina di ibu negara memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berhubung tindakan berkenaan kerana tidak mahu hubungan baik antara dua negara terjejas akibat kejadian itu. – BERNAMA

Komen