KERAJAAN BAKAL PERKENAL PAS PENGENALAN SEMENTARA GANTI IMM13

KERAJAAN BAKAL PERKENAL PAS PENGENALAN SEMENTARA GANTI IMM13

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bakal mengeluarkan dokumen pengenalan diri baharu bagi warga asing sudah lama menetap di negeri ini.

Dikenali sebagai Pas Sementara Sabah (PSS), dokumen berkenaan menggantikan tiga dokumen lama yang pernah dikeluarkan sebelum ini seperti Kad Burung-Burung, sijil banci dan kad IMM13.

Muhyiddin dan Mohd Shafie bergambar sebelum mesyuarat bermula. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata PSS berkenaan akan mula diperkenalkan bermula 1 Jun 2020 dengan bayaran RM120 untuk tiga tahun.

“Pas ini adalah berbentuk kad ada mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti biomatrik, gambar dan cap jari yang dikeluarkan bagi setiap individu.

“PSS ini dilihat dapat menyelesaikan pelbagai isu sebelum ini selain pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Muhyiddin dan Mohd Shafie berbincang sebelum mesyuarat. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Dalam masa sama, kita juga mampu memantau tenaga kerja yang boleh kita perolehi daripada mereka ini dengan adanya kad ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK), dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Muhyiddin dan Mohd Shafie dalam sidang akhbar selepas mesyuarat. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Dalam pada itu, melalui jawatankuasa terbabit, kerajaan memfokuskan untuk membincangkan serta mencari menyelesaian isu-isu berkaitan pengurusan warga asing termasuk keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Berdasarkan rekod Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sabah, jumlah keseluruhan PATI yang diusir daripada negeri berkenaan sejak tahun 1990 sehingga 4 septembr tahun ini adalah seramai 586,367 orang manakala sepanjang tahun 2019 sahaja, seramai 8,343 orang PATI sudah diusir balik ke negara asal masing-masing.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata pelaksanaan dokumen pengenalan diri berkenaan juga akan memberi fokus kepada permasalahan membanteras kemasukan pergerakan individu yang menggunakan dokumen palsu atau dokumen individu lain melalui pintu masuk ke Sabah terutamanya melalui lapangan terbang Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

“Kemudahan dan peralatan sedia ada disemua lapangan terbang juga harus dipertingkatkan bagi mengelak kebolosan dan keluar masuk individu kurang bertanggungjawab menggunakan dokumen palsu.

“Hal ini adalah penting kerana kedatangan pelancong dan pelawat ke negeri ini dilihat meningkat dalam jumlah tinggi namun dalam masa sama perlu ada kawalan supaya tidak ada anasir yang boleh membawa kesan negatif kepada Sabah,” katanya. -SabahNews Today

Komen