Keputusan tidak rasmi memihak Jokowi

Keputusan tidak rasmi memihak Jokowi

Presiden Joko Widodo dan Ma’ruf Amin selepas pengumuman keputusan tidak rasmi di Jakarta, Indonesia, semalam. Foto Reuters

JAKARTA: Jangkaan bahawa Presiden Joko Widodo atau Jokowi bakal mengekalkan pentadbiran bagi tempoh lima tahun lagi, menceriakan pasaran kewangan Indonesia, selepas keputusan tidak rasmi memihak kepada beliau.

Keputusan yang diperoleh pihak swasta berdasarkan kiraan undi, adalah sejajar dengan tinjauan pendapat yang meramalkan kemenangan Jokowi, sekali gus memberi keyakinan bahawa beliau akan kekal bagi penggal kedua.

Kiraan undi tidak rasmi menunjukkan Jokowi mendahului selepas meraih sekurang-kurangnya 54 peratus undi popular, berbanding bekas jeneral Probowo Subianto yang ketinggalan lapan peratus undi.

Probowo kalah tipis kepada Jokowi dalam pilihan raya lima tahun lalu, iaitu pada 2014.

Pengiraan undi oleh kumpulan tinjauan terkenal sudah terbukti memberikan keputusan yang tepat pada pilihan raya sebelum ini, walaupun keputusan rasmi hanya akan diumumkan pada bulan depan.

Sementara itu, akhbar bahasa Inggeris, Jakarta Post menyiarkan berita muka depan bertajuk ‘Five More Years’ bersebelahan gambar presiden.

Pasaran kewangan juga menunjukkan petanda positif selepas mata wang rupiah dibuka pada kadar 14,000 (RM4.10) setiap dolar, iaitu meningkat 0.57 peratus berbanding ketika ia ditutup.

Indeks saham Jakarta turut mencatatkan peningkatan sebanyak 1.5 peratus.

Pada masa sama, penganalisis masih berhati -hati sama ada Jokowi akan meneruskan agenda pembaharuan dalam penggal pertamanya, termasuk membuka lebih banyak peluang bagi pelaburan asing atau melonggarkan sedikit undang-undang buruh Indonesia. – Reuters

Komen