Keprihatinan penduduk Tawau dapat perhatian kerajaan negeri

Keprihatinan penduduk Tawau dapat perhatian kerajaan negeri

TAWAU, 29 Ogos (Bernama) — Keprihatinan penduduk Tawau membantu golongan yang ditimpa musibah mendapat perhatian dan penghargaan daripada kerajaan negeri.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata berkata sebanyak 111 termasuk pertubuhan sukarela dan individu di sini tampil menghulurkan pelbagai sumbangan terutama barangan makanan serta air kepada 511 mangsa kebakaran di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat.

“Kita (kerajaan) ucapkan ribuan terima kasih kepada semua, saya sedar orang-orang Tawau ini cukup prihatin dan baik kerana bila ada saja musibah yang berlaku mereka akan turut datang membantu mangsa yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat dan menyerahkan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran di Kampung Otentik di sini, hari ini.

Menurut Sarifuddin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bertanggungjawab merekod kesemua sumbangan yang disalurkan kepada mangsa kebakaran.

“Mana-mana individu atau badan bukan kerajaan yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghantar ke Masjid Al-Mukarramah yang menjadi pusat pengumpulan bantuan,” katanya.

Ketika ini, mangsa kebakaran tinggal sementara di Balai Raya OT Jantan, Masjid Al-Mukarramah serta Masjid Nurul Hidayah, selain di rumah keluarga.

Isnin lalu, dilaporkan lebih 60 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat di sini, pada 7.40 malam.

— BERNAMA

Komen