Keperluan tambah siren amaran awal tsunami – pembantu menteri

Keperluan tambah siren amaran awal tsunami – pembantu menteri

KUNAK, 19 Okt – Keperluan penambahan siren amaran awal tsunami di Kunak akan diteliti, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.

Katanya, perkara itu bertujuan kepentingan melengkapkan persediaan penduduk menghadapi bencana tsunami.

“Kami sedang meneliti perkara ini, kami sudah merujuk kepada pihak berwajib untuk memastikan siren amaran awal ini mencukupi.

“Selain itu, bukan setakat penambahan siren tetapi kami juga mahu memastikan jumlah kakitangan bertugas cukup sekiranya berhadapan sebarang bencana,” katanya Anggota Dewan Undangan Negeri Kunak itu kepada Bernama.

Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Felix Tongkul sebelum ini berkata berdasarkan simulasi tsunami dan gempa bumi dari Peparit Sulawesi Utara di Laut Sulawesi menghasilkan ombak tsunami ke Kunak dan masa ketibaan di daerah itu sekitar 30 minit.

Norazlinah berkata setakat ini hanya satu sahaja siren amaran di pasang berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak.

“Sebab itu penduduk perlu sentiasa peka dengan apa juga perkara (termasuk bunyi) yang berlaku di persekitaran kita,” katanya turut menyarankan agar program berhubung kesedaran menghadapi bencana tsunami diadakan di Kunak.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati penduduk Kunak memberi pelbagai reaksi berhubung kewujudan siren amaran awal tsunami di daerah itu.

Seorang penduduk Kampung Kabok, Herliana Asaludin, 26, tidak mengetahui kewujudan penggera sedemikian di Kunak.

“Tidak tahu ada, dan tidak pasti jika siren itu boleh didengar sehingga ke rumah saya,” katanya

???????Bagi Sumarni Sainddin, 33, berasal dari Kampung Kunak Jaya, tahu lokasi perletakan siren amaran itu tetapi bunyi siren itu tidak begitu didengari penduduk.

“Saya menyokong keperluan menambah siren amaran tsunami ini memandangkan bunyinya yang minima didengar segelintir penduduk sahaja,” katanya lagi.

Siren amaran awal tsunami itu berfungsi untuk menyebarkan amaran tsunami sejauh tiga kilometer dari peralatan itu dipasang kepada penduduk sekitar supaya sempat melarikan diri ke tempat yang selamat.

Selain Kunak, siren itu turut dipasang di Tawau (dua), Lahad Datu (tiga) dan Semporna (dua) dengan dikawal sepenuhnya, di ibu pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Felix berkata siren amaran perlu banyak dipasang ekoran bunyi daripada satu siren sahaja tidak mampu memberi amaran kepada penduduk di semua kawasan.

Felix berkata simulasi tsunami menunjukkan bahawa ombak tsunami sampai di Sabah antara 30 sehingga 120 minit dengan ketinggian ombak sekitar satu sehingga lima meter.

— BERNAMA

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *