KEPELBAGAIAN KAUM SABAH PERLU DIMANFAATKAN SEBAGAI PRODUK PELANCONGAN

KEPELBAGAIAN KAUM SABAH PERLU DIMANFAATKAN SEBAGAI PRODUK PELANCONGAN

Ma’mun, kanan dan Ishak Martin, kiri, ketika majlis perasmian.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Kepelbagaian kaum dan kebudayaan di negeri ini perlu dijadikan sebagai produk pelancongan untuk menarik kemasukkan lebih ramai pelancong ke Sabah terutama dari luar negara.

Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman berkata, setiap kepelbagaian itu seperti cara hidup, makanan, pemakaian dan bahasa perlu dipromosikan kerana manfaatnya daripada sektor pelancongan akan turut menjana ekonomi rakyat.

“Seharusnya kekayaan dan kepelbagaian budaya di negeri kita dimanfaatkan dengan baik kerana ia tidak terdapat di negara lain.

“Justeru, saya berharap agar setiap kaum di negeri ini didaftarkan di bawah satu persatuan bagi memudahkan aktiviti dan promosi dilakukan secara meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bangsa Toraja Sabah dan Penyerahan Watikah Perlantikan Jawatankuasa, di Dewan Kompleks Sukan, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi persatuan itu, Ishak Martin.

Ma’mun berkata, persatuan kebudayaan juga penting dalam menjamin kesinambungan budaya sesuatu bangsa atau kaum agar tidak hilang ditelan zaman.

“Melalui persatuan juga, kerajaan menerusi kementerian atau jabatan berkaitan dapat menyalurkan dana sekali gus membantu mempromosikan aktiviti kebudayaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ma’mun memuji usaha kaum Toraja dalam memelihara amalan budaya mereka agar seiring dengan peredaran zaman.

“Toraja bukanlah satu suku yang asing bagi kita, malah mereka juga turut menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Saya berharap agar persatuan ini menjadi platform dalam membantu memperkukuhkan kaum Toraja itu sendiri, dan negara amnya,” katanya.

Persatuan Toraja telah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 24 Julai lalu dan kini mempunyai hampir 100 keahlian. -borneotoday.net

Komen