Kemudahan Jalan Raya Di Sabah Terus Dipertingkat – Shafie Apdal

Kemudahan Jalan Raya Di Sabah Terus Dipertingkat – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memastikan kemudahan jalan raya di Sabah terus dipertingkatkan demi kepentingan rakyat tempatan dan juga pengunjung luar.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, jaringan jalan raya yang baik bukan hanya dapat dimanfaatkan oleh rakyat setempat tetapi juga dapat membantu dalam pembangunan industri pelancongan.

Sekiranya jalan-jalan menuju ke destinasi pelancongan berada dalam keadaan baik maka, ia akan memudahkan pelancong untuk mengunjungi kawasan berkenaan, tidak kira jika ianya terletak di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Shafie Apdal mendengar taklimat pembinaan Jalan Nountun Bukit Padang-Inanam

Oleh itu, jaringan jalan raya dipertingkatkan dan kerja-kerja pembinaan jalan raya yang sedia ada pula perlu sentiasa dipantau.

Katanya, beliau telah mengingatkan Jabatan Kerja Raya supaya memantau proses pembinaan projek-projek jalan raya yang ada bagi memastikan pembinaannya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

”Kontraktor yang menunjukkan prestasi yang baik dalam menyiapkan kerja-kerja pembinaan jalan boleh disenaraikan untuk melaksana projek yang akan datang,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jalan Nountun Bukit Padang-Inanam, di sini pada Selasa.

Shafie Apdal (tiga kanan) bersama Speaker DUN Sabah Syed Abas Syed Ali (empat kanan) Timbalan Ketua Menteri Christina Liew (dua kiri), Peter dan Pembantu Menteri Kewangan Kenny Chua (kanan) menyempurnakan pemotongan ribon sebagai simbolik pelancaran Jalan Nountun Bukit Padang-Inanam

Mohd Shafie berkata, dengan penyiapan jalan raya sepanjang 2.7km itu, ia akan membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Bukit Padang dan Inanam.

Jalan alternatif yang dibina dengan kos RM13.5 juta itu mula dibina pada April 2013 dan siap sepenuhnya pada Disember 2018.

Menurutnya, pembinaan jalan raya itu akan membantu menyumbang kepada peningkatan ekonomi apabila kawaan itu dibangunkan dengan pembinaan lebih banyak perumahan pada masa akan datang.

Shafie Apdal bersama menteri kabinet lain meninjau keadaan Jalan Nountun Bukit Padang yang siap dibina pada Disember tahun lalu

Kemudian ketika ditanya tentang pembinaan empangan di Sabah, Mohd Shafie berkata, sudah sampai masanya empangan di Papar an Ulu Padas, Tenom dibina bagi memastikan keperluan bekalan air pada masa akan datang mencukupi.

”Saya sudah mengarahkan Kementerian Pembangunan Infrastruktur untuk melihat perkara ini secara serius tanpa bertangguh agar pelaksanaannya dapat dilakukan secepat mungkin.

”Dalam jangka masa panjang kita akan memerlukan bekalan air yang lebih banyak kerana perubahan cuaca yang tidak menenu. Maka, kita kena bersedia agar kita tidak berdepan dengan masalah kekurangan bekalan air.

”Sekiranya pembinaan empangan ini direalisasikan ia bukan hanya dapat membekalkan air tetapi juga, membekalkan elektrik,” jelasnya.

Beliau berkata, pembinaan kedua-dua empangan itu akan memberi manfaat kepada masyarakat di sekitar Pantai Barat Sabah.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, pembinaan Jalan Nountun Bukit Padang itu adalah projek dibawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang dibina dengan peruntukan Kerajaan Negeri yang berjumlah RM13.5juta.

”Jalan ini melibatkan pembinaan jalan dua lorong dan dua hala bagi jalan sepanjang 2.7km termasuk pembinaan jambatan kekal dan satu persimpangan bulatan.

Shafie Apdal bersama menteri kabinet lain meninjau keadaan Jalan Nountun Bukit Padang yang siap dibina pada Disember tahun lalu

Manakala, dalam RMK11, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM140juta bagi melaksana 94 buah projek melibatkan jalan raya sepanjang 108km.

Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM28juta kepada kementerian itu bagi program Jalan Raya termasuk pembinaan serta menaiktaraf jalan di Sabah. – BorneoToday

Komen