Kelab 4×4 Ekspedisi Ekstrem Tawau –

Kelab 4×4 Ekspedisi Ekstrem Tawau –

Kemampuan Anak Tawau & Misi Aspirasi Serantau Melalui Dokumentari PANTAS

Nampak mudah tapi sebenarnya bergelora. Itu lah adat dalam kelab dan persatuan. Dalam mana-mana bidang, samada hiburan, sukan, sosial, politik dan sebagainya, akan berdepan dengan ranjau dalam mempertahankan kesatuan dalam kelab dan persatuan ini. Kita sering mendengar cerita-cerita sensasi dan juga berita-berita negatif tentang ahli-ahli kelab dan persatuan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan dan perpecahan kesatuan itu sendiri. Pendek kata, untuk menghidupkan sebuah kelab dan persatuan ibarat sekadar menabur benih di tanah yang subur, hanya menanti ianya terbit namun selepas kewujudannya, maka usaha memakmurkannya menjadi episod paling getir yang bakal dilalui ahlinya..

Dalam melalui kesinambungan episod ini, ada dua perkara asas perlu kuat dan mantap. Yang pertama ialah struktur organisasi dan yang kedua ialah aspek kepimpinan individu dalam kelab dan persatuan tersebut. Struktur organisasi akan meliputi segala aspek dominan dalam kelab atau persatuan kerana aspek ini akan menentukan rangka organisasi kelab dan persatuan ini dalam mendokong aspirasi misi dan hala tuju organisasi ke destinasi yang didokong oleh ahli-ahlinya. Struktur organisasi adalah simbol kepada kekuatan dan prestij sesebuah kelab dan persatuan tersebut.

Dalam aspek kedua, struktur oraganisasi ini harus di sokong dengan kepimpinan individu dalam mengerakkan jantung organisasi ini. Samada ianya disedari atau tidak, kepimpinan individu dalam organisasi akan berperanan sebagai pelincir kepada struktur organisasi untuk kelab dan persatuan ini bergerak dengan lancar dan mampu terus bertahan untuk pencintanya.

Pada tulisan kali ini, penulis ingin menyentuh sebuah kelab yang mempunyai nilai aspirasi yang tidak terbatas dalam kelompok yang terhad pada misi dan visi nya, tetapi ianya sebuah kelab yang mampu membawa aspirasi nasional ke pentas antarabangsa. Lahir dari satu dominasi kemahiran dalam sukan pacuan 4 roda yang bermula dari Tawau, Pantai Timur Sabah, yang didokong oleh para anak tempatan Sabah, maka KELAB 4X4 EKSPEDISI EKSTREM TAWAU muncul dalam pentas sukan sosial pacuan 4 roda bukan sahaja di negeri Sabah tetapi juga Malaysia.

Kelab ini yang telah didaftarkan dibawah Akta Pembangunan Sukan 1997 dengan No. Pendaftaran 4909/2011 pada 12 Oktober 2011, telah dinaungi oleh ADUN N.56 APAS Tawau Sabah, Y.B Datuk Hj Tawfiq DSP Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kewangan Sabah ketika itu (ketika catatan ini dibuat Y.B Datuk Hj Tawfiq merupakan Menteri Belia Dan Sukan Sabah) dan secara konsensus melantik Saudara Jeffry Onn Hamzah sebagai presiden kelab yang pertama. Sejurus selepas pendaftarannya, pada tarikh 18hb Disember 2011 kelab telah mengadakan mesyuarat agungnya yang pertama. Seramai 30 ahli telah menghadiri mesyuarat agung tersebut yang mana agenda utama adalah melantik AJK Kelab bagi sesi 2012 – 2014 , perbincangan mengenai kalendar program kelab tahun 2012 dan perkara – perkara berbangkit yang lain.

Mesyuarat agung bermula pada jam 2.30 ptg telah berakhir pada pukul 4.00 ptg sebelum disusuli oleh acara jamuan dan sesi bergambar. Mesyuarat ini disempurnakan dengan kehadiran YB Datuk Hj Tawfiq DSP Hj Abu Bakar Titingan sebagai Penaung kelab disusuli dengan sesi bergambar bersama ahli – ahli kelab.

Sebagaimana setiap pertubuhan , kelab , persatuan atau mana -mana kumpulan berdaftar haruslah mempunyai logo masing – masing sebagai sebuah profil utama untuk jenama pertubuhan tersebut, bagi Kelab 4×4 Ekspedisi Ekstrem , Tawau lambang kelab telah di cipta dengan mengambil kira aspek matlamat penubuhan kelab , asal usul lokasi penubuhan kelab dan diterangkan dengan pemilihan warna yang tepat.

Logo Kelab 4×4 Ekspedisi Ekstrem Tawau, Sabah.

Dengan merujuk kepada profil logo di atas, warna pada tulisan yang menggunakan warna kuning (kecerahan masa depan kelab ) , coklat (lumpur ) , merah (lasak ) dan biru (keluasan aktiviti/perkembangan kelab ) merupakan intipati kepada hala tuju dan matlamat penubuhan kelab. Imej kereta adalah sinonim kepada kenderaan pacuan 4 roda manakala peta yang dihijaukan adalah peta Tawau lokasi kelab tercipta.

Bermula dari detik itu, kelab ini mula mengorak langkah dengan menjalankan aktiviti – aktiviti kenderaan pacuan 4 roda samada program lasak Off Road ataupun program bersifat travelog On Road. Dalam tempoh 6 bulan pertama penubuhannya, kelab ini telah mengadakan beberapa siri program yang bersifat ilmiah seperti program Kursus Pemantapan Penggunaan Radio Amatur dengan kerjasama bersama Kelab Radio Amatur Tawau atau singkatannya KRATA, Ekspidisi Bersama Keluarga dan ahli (Februari), XPDC Danum 2012 (Mac), Operasi Pemantaun ‘Trek’ Bagi Karnival Bermotor 2012 (April), Program Belia 1 Malaysia (Mei), 4×4 Penampang Open 2012 (Jun), Majlis Pelancaran Program Jelajah Borneo 2012 (September) dan Ekspedisi Serudong Laut-Mengaris (Oktober).

Antara model – model hebat yang ada dalam kelab ini. Kelab ini bukan sahaja akan mempamerkan kenderaan untuk tujuan perjalanan dan aktiviti ekstrem sahaja tetapi juga akan menawarkan khidmat profesional dalam pengubahsuaikan kenderaan mengikut spesifikasi yang tertentu.

Written by Norshal Hamzah

Sumber: norshal.com

Komen