Kejayaan WARISAN seperti cerita Avengers

Kejayaan WARISAN seperti cerita Avengers

Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Darell Leiking (tengah) ketika hadir pada Perhimpunan Agung Wira, Wirawati dan Wanita WARISAN, di Pusat Kebudayaan Penampang. – Foto Edmund Samunting

PENAMPANG: Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Darell Leiking menyamakan situasi yang dihadapi parti berusia kira-kira tiga tahun itu dengan filem Avengers: Endgame yang sedang ditayangkan di pawagam.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata, WARISAN tidak mungkin berada pada kedudukan sebagai tonggak kerajaan negeri di Sabah sekarang tanpa kerjasama dan semangat bersatu padu pemimpin serta ahlinya yang membolehkan parti itu mencipta kejayaan.

Beliau berkata, filem Avengers itu menceritakan kepentingan semua pemimpin untuk bersatu demi mempertahan kepentingan rakyat dan tidak membiarkan pihak tertentu yang disamakannya seperti ‘Thanos’ seperti watak jahat dalam filem itu untuk menghancurkan mereka.

“Ini seperti wayang Avengers yang mana mereka kalah kerana berpecah dalam Infinity (War), tokoh hebat tiada kepercayaan tetapi dalam Endgame mereka bekerjasama, menunjukkan bahawa kita tidak boleh menang kalau kita berpecah,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wira, Wirawati dan Wanita WARISAN, di Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman dan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang juga Ketua Wirawati WARISAN, Isnairaisah Munirah Majilis.

Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Darell Leiking (tengah), bersama sebahagian perwakilan yang hadir bergambar kenangan pada Perhimpunan Agung Wira, Wirawati dan Wanita WARISAN, di Pusat Kebudayaan Penampang. – Foto Edmund Samunting

Darell berkata, pencapaian WARISAN yang akan menyambut ulang tahun pertama kejayaan mengetuai kerajaan negeri selepas mengambil alih daripada Barisan Nasional (BN) pada 12 Mei tahun lalu perlu dipertahankan menerusi semangat bersatu padu pemimpinnya.

Beliau turut merujuk perkara itu dengan pemilihan pertama parti itu yang berlangsung hari ini dan esok yang bakal menyaksikan beberapa jawatan penting seperti Timbalan Presiden dan Ketua Wanita berlaku pertandingan.

“Hari ini sayap Wira, Wirawati dan Wanita bergabung mengadakan persidangan dan untuk memilih pemimpin yang akan mengetuai mereka bagi tahun 2019 hingga 2022. Kita tahu Ketua Wira dan Ketua Wirawati menang tanpa bertanding, manakala Ketua Wanita ada pertandingan tiga penjuru, begitu juga Timbalan Presiden ada pertandingan satu lawan satu.

“Kita akan memberikan penuh semangat kepada mereka untuk bertanding dengan baik dan tidak menggunakan istilah peribadi dan akan bersatu apabila mereka sudah dilantik. Kita mengambil pesanan dan gambaran yang diberi oleh Avengers. Kita mesti bersatu, jangan berpecah kerana kalau tidak, ada ‘Thanos’ yang akan menang,” katanya.

Sementara itu, Darell berkata WARISAN kini berdepan dua cabaran penting yang perlu ditangani dengan bijak bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap parti itu dan kedudukannya sebagai tonggak kerajaan negeri terus bertahan.

Cabaran pertama, katanya, untuk memastikan parti itu bebas daripada pemimpin yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa, manakala yang kedua ialah usaha untuk menangkis fitnah dan dakyah pembangkang yang menuduh WARISAN sebagai ‘penternak’ pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Dalam WARISAN, kita mahu mendisiplinkan pemimpin kita supaya menjauhi amalan rasuah dan kalau ada kita akan bawa ke mahkamah. Itu asas yang kita mesti ada, sama ada ia (rasuah) ada atau tidak.

“Keduanya, kita perlu hadapi tuduhan fitnah yang selalu dikhabarkan dalam sosial media dan pembangkang menuduh WARISAN menternak PATI. Saya selalu meminta bukti tapi mereka tidak tunjuk kerana ia tidak benar.

“Mereka tahu kawan lama mereka ketika dalam kerajaan lama mungkin ada buat tapi sekarang malu. Kalau dibongkarkan, akhirnya ia membongkar kerja yang jahat yang dibuat kerajaan lama,” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden WARISAN dijadual merasmikan Perhimpunan Agung WARISAN yang pertama di Pusat Kebudayaan Penampang, esok. -Bharian

Komen