KBS SABAH DIHARAP TAMBAHBAIK PEMBANGUNAN SUKAN DI TAWAU

KBS SABAH DIHARAP TAMBAHBAIK PEMBANGUNAN SUKAN DI TAWAU

TAWAU; 30 DISEMBER 2019 (Isnin) – Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Belia dan Sukan Sabah diharap dapat melakukan penambahbaikan dalam pembangunan sukan di Tawau termasuklah Badminton agar sukan berkenaan semakin berkembang dan maju.

Pembantu Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sabah, Datuk Jimmy Wong berkata ia termasuklah menaiktaraf kompleks sukan Tawau agar banyak fasiliti sukan dibina seperti gelanggang badminton bertaraf professional untuk kemajuan sukan itu serta menjayakan pertandingan di Tawau.

Beliau berkata, dengan kemudahan sukan yang baik, ia sekali gus menjadi platform belia untuk serlah dan mengasah bakat masing-masing sehingga mampu menjadi pelapis negara kelak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM selepas merasmikan kejohanan Badminton Terbuka Sabah Piala YB Jimmy Wong 2019 di Sabah Chinese High School di Tawau.

Datuk Jimmy yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong berkata, kejohanan yang mendapat sambutan mengalakkan dari para penyokong yang hadir diharapkan menjadi medan mencari pelapis selain mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Disember lepas menghimpunkan 184 peserta dari seluruh negeri ini.

Kejohanan berkenaan turut menyaksikan ‘Show match’ daripada empat jaguh Badminton Negara iaitu Tan Wee keong, Tan Wee Gieen, Chan Peng Soon dan Woon Khe Wei.

#BESTAWAUfm

Komen