Kawalan keselamatan di tahap tinggi

Kawalan keselamatan di tahap tinggi

TUNGKU: Kawalan keselamatan yang diterajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi terus memacu pembangunan dan perkembangan industri pelancongan di Sabah.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kesiapsiagaan yang merangkumi berbagai cabang telah memberi keyakinan kepada pelancong asing terutama dari China dan negara-negara Eropah ke Sabah.

“Pelancong yang meminati sukan laut dan rekreasi laut banyak datang dari China.

“(Pelancong) Eropah telah kembali ke sini dan berharap mereka (yang lain) datang untuk melancong di Sabah,” katanya.

Mohamad berkata keadaan yang aman tenteram dengan kawalan keselamatan yang begitu baik akan menjamin keselamatan pelancong.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat lawatan kerja rasmi ke Markas 13 Briged Esscom, di Felda Cenderawasih, dekat sini hari ini.

Terdahulu di ibu pejabat Esscom di Lahad Datu, Mohamad berkata walaupun ada insiden penculikan yang lalu, tapi terlalu amat sedikit jika dibandingkan sebelum ada operasi-operasi yang telah dilaksanakan Esscom.

Pada lawatan kerja di Cenderawasih, Mohamad telah diberikan taklimat oleh Panglima 13 Briged Esscom Brig Jen Hamdan Ismail sementara di ibu pejabat Esscom taklimat disampaikan oleh Komander Esscom DCP Datuk Hazani Ghazali.

Pada perkembangan sempena lawatan kerja dua hari itu, Mohamad berpuas hati dengan langkah-langkah pertahanan pasukan keselamatan yang telah memberi jaminan keselamatan dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.

oleh

NORWAHIDA YAMALUDDIN/utusan Borneo

Komen