Kantoi nak seludup petrol

Kantoi nak seludup petrol

PASUKAN Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan dua lelaki menyeludup 1,130 liter petrol menerusi Ops Pensura di Pulau Boheyan dekat Semporna, semalam.

Dalam operasi kira-kira 5 petang itu, anggota PPM menggunakan ‘bot samaran’ sebelum menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dengan kegiatan penyeludupan barang kawalan di pulau berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohanad Pajeri Ali berkata, ketika ditahan suspek warga tempatan berusia 34 tahun itu leka memunggah tong berisi petrol dari bot ke sebuah rumah di pulau terbabit.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lagi suspek warga asing berusia 40 tahun di rumah terbabit dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan bahan kawalan terbabit.

“Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan, kami menemukan 14 tong putih (setiap satu berisi 25 liter) dan 26 tong biru (setiap satu berisi 30 liter) minyak petrol yang disyaki hendak diseludup ke Filipina.

“Kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan permit atau dokumen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Ngeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan pemilikan kesemua barang kawalan terbabit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut modus operandi suspek, Mohamad Pajeri berkata, kedua-kedua mereka mengumpul bekalan petrol itu sedikit demi sedikit sebelum diseludup dan dijual di negara jiran.

“Kedua-dua suspek ditangkap bersama barang rampasan, termasuk sebuah bot dan enjin sangkut dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM18,471.20.

“Semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawal Bekalan 1961,” katanya.

Credit. Hmetro

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *