Kantoi cuba seludup keluar tong gas

Kantoi cuba seludup keluar tong gas

LELAKI warga Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati cuba menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) melalui perairan Sungai Haji Kuning, di Tawau. FOTO Ihsan PPm

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan lelaki warga Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup keluar lima tong gas petroleum cecair (LPG) melalui perairan Sungai Haji Kuning, di Tawau, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek yang menggunakan bot penumpang dikesan bot ronda PGR 2 menerusi operasi ‘Op Gelora’ di kawasan berkenaan pada 5.10 petang.

Katanya, pemeriksaan terhadap bot dinaiki suspek berusia 30 tahun yang memegang pasport Indonesia itu menemui lima tong LPG jenama PETRONAS yang disembunyikan di ruang belakang bot berkenaan.

“Suspek juga gagal menunjukkan sebarang permit atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan barang kawalan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,400 termasuk sebuah bot laju bersama satu unit enjin sangkut jenis Yamaha 40 kuasa kuda (hp).

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 10:37 AM

Komen