KANAK-KANAK 10 TAHUN CEDERA PARAH DALAM KEMALANGAN DI BATU 24 JALAN APAS

KANAK-KANAK 10 TAHUN CEDERA PARAH DALAM KEMALANGAN DI BATU 24 JALAN APAS

TAWAU: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya di Batu 24 Jalan Apas, Tawau semalam.

Mangsa dikenali sebagai Dade Ansar masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tawau kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat dilanggar sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

Toyota Hilux itu kemek di bahagian depan selepas kemalangan. Gambar SNT/Ehsan IPD Tawau

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.30 malam apabila mangsa dikatakan melintas jalan di situ tanpa menggunakan jejantas sedia ada.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian penjalan kaki (mangsa) yang tidak menggunakan jejantas dan tidak memastikan tiada kenderaan dari arah sebelah kanan di jalan utama semasa melintas.

Keadaan di lokasi sejurus selepas kemalangan berlaku. Gambar SNT/Ehsan IPD Tawau

“Pemandu Hilux difahamkan memandu di lorong kanan dan tiba-tiba seorang kanak-kanak berlari melintas dari kiri ke kanan jalan.

“Bagaimanapun, pemandu Hilux tidak sempat menekan brek dan terlanggar mangsa tersebut menyebabkan mangsa terpelanting ke depan dan jatuh berhampiran pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pegangkutan Jalan (APJ) 1987. – SabahNewsToday

Komen