K-Clique akui bergelut dengan populariti

K-Clique akui bergelut dengan populariti

Kumpulan K-Clique mencipta nama dengan lagu Mimpi, hasil kolaborasi mereka bersama Alif. – NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Mula mencipta nama menerusi single Mimpi, kumpulan hip hop, K Clique, mengakui masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan gelombang populariti yang dikecapi ketika ini.

Ketika perhatian daripada peminat pelbagai peringkat usia semakin banyak diterima, kumpulan dianggotai oleh MK, Noki, Tuju, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas itu pada masa sama mengakui masih banyak yang perlu dipelajari berikutan mereka begitu baharu dalam bidang seni.

“Semestinya kami berterima kasih kepada Alif kerana kerjasama dengannya menerusi lagu terbabit membuka ruang untuk kami mencipta nama dalam bidang seni. Malah, kami tidak lupa meminta nasihat dan pendapatnya berikutan anggota kumpulan ini masih kurang dari segi pengetahuan, dalam pelbagai aspek.

“Kami memang selesa bergerak begini, namun tidak dinafikan, timbul juga kerisauan kerana masing-masing tidak rela dikenali dengan sebuah lagu sahaja,” kata anggota kumpulan itu, Tuju, mewakili teman lain.

Menurutnya, berbagai-bagai tanggapan turut dilemparkan kepada mereka akibat masalah komunikasi dengan pihak media dan peminat.

“Bagaimanapun, pengalaman lalu banyak mengajar kami. Kesilapan yang berlaku sebelum ini dijadikan peringatan supaya kami tidak mengulanginya lagi.

“Dalam tempoh kira-kira setahun kumpulan ini mula dikenali, kami belajar untuk membiasakan diri dengan situasi begini. Kami akan terus memperjuangkan K Clique seperti yang dikenali peminat,” katanya lagi.

Dia juga memaklumkan, K Clique selesa berulang-alik dari Kota Kinabalu, Sabah, malah merancang untuk terus kekal menetap di sana.

Mereka turut berazam menjadikan kota berkenaan sebagai tapak bagi mengembangkan industri seni, selain Kuala Lumpur.

Menjelang Julai depan pula, K Clique bakal tampil dengan album sulung yang kini masih dalam proses pembikinan.

“Bukan mudah untuk terus mengekalkan momentum, memandangkan penerimaan diberikan peminat terhadap Mimpi sangat memberangsangkan. Kami semestinya ingin menghasilkan karya lebih baik berbanding sebelum ini, cuma masing-masing cuba mengelak daripada meletakkan tekanan terlalu berat ke atas diri sendiri.

“Tekanan pula bukan sekadar dari sudut penghasilan lagu, sebaliknya termasuk penerimaan peminat kami selepas ini. Apa yang pasti, kami ingin menghasilkan karya berkualiti,” katanya. -Bharian

Komen