JURAGAN SELUDUP KELUAR 10 TONG GAS LPG DITAHAN PPM

JURAGAN SELUDUP KELUAR 10 TONG GAS LPG DITAHAN PPM

Juragan berusia 27 tahun dipercayai cuba menyeludup keluar 10 tong LPG ke Indonesia. – Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

TAWAU: Cubaan seorang juragan tempatan menyeludup keluar 10 tong gas cecair petroleum (LPG) ke negara jiran gagal selepas dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Sungai Haji Kuning, di sini semalam.

Bot yang dinaiki juragan berusia 27 tahun itu ditahan dan diperiksa dalam Operasi Gelora yang dijalankan pada pukul 9 malam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pemeriksaan di ruangan dalam bot berkenaan menemukan 10 tong lpg pelbagai jenama.

“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan gagal menunjukkan sebarang surat atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan tong gas yang dibawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, juragan terbabit ditahan manakala tong gas termasuk enjin dan bot dianggarkan bernilai RM17,000 dirampas.

Katanya barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – SabahNewsToday

Komen