Juragan cuba seludup keluar LPG ditahan

Juragan cuba seludup keluar LPG ditahan

Suspek lelaki tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas cuba menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) di kawasan perairan laut Sungai Pukol di Tawau. – NSTP/Ihsan PPM

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki yang cuba menyeludup keluar enam tong gas petroleum cecair (LPG) menggunakan bot jongkong menerusi perairan Sungai Pukol, dekat sini, semalam.

Bot dikendalikan lelaki tempatan berusia 44 tahun itu ditahan sepasukan anggota bot ronda PPM selepas berada dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 9.30 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata bot terbabit dalam perjalanan ke Sungai Haji Kuning dan pemeriksaan lanjut menemui enam tong LPG.

Katanya, juragan juga gagal mengemukakan permit atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa barang kawalan.

“Lelaki itu ditahan bersama bot dan muatan sebelum dibawa ke pangkalan markas operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan termasuk bot, enjin sangkut dan LPG dianggarkan RM26,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Katanya, PPM komited untuk terus membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan menerusi kawasan perairan serta di sempadan Malaysia dan Indonesia. -bharian

Komen