Juragan bot terjun ke laut elak ditahan

Juragan bot terjun ke laut elak ditahan

ANGGOTA PPM merampas bot pam yang digunakan suspek di kawasan laut Kampung Basilan, Kunak. – Foto ihsan PPM

LAHAD DATU: Seorang juragan bot nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan laut Kampung Basilan, Kunak, semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, suspek kemudian gagal dikesan anggota Unit Risikan Marin PPM Lahad Datu, dipercayai melarikan diri ke kawasan kampung berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata sepasukan PPM Lahad Datu sedang menjalankan operasi dan mengesan sebuah bot pam disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan laut kampung berkenaan.

“Menyedari kehadiran pasukan PPM, juragan bot itu bertindak terjun dan meloloskan diri masuk ke kawasan kampung itu.

“Pemeriksaan ke atas bot pam menemui pelbagai jenis ikan disyaki ditangkap dengan bahan letupan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, anggota PPM Lahad Datu turut menemui enam paket kecil berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.32 gram, wang tunai RM12 dan lima keping kertas timah.

“Semua barangan bernilai RM2,812 termasuk bot dirampas dan dibawa ke Pos PPM Kunak untuk tindakan lanjut

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. –bharian

Komen