JURAGAN BOT PENUMPANG TERJUN LAUT ELAK DICEKUP, MARITIM TAWAU BERJAYA RAMPAS 26 TONG GAS LPG, MINYAK PETROL DISYAKI UNTUK DISELUDUP KELUAR

JURAGAN BOT PENUMPANG TERJUN LAUT ELAK DICEKUP, MARITIM TAWAU BERJAYA RAMPAS 26 TONG GAS LPG, MINYAK PETROL DISYAKI UNTUK DISELUDUP KELUAR

TAWAU; 13 DISEMBER 2019 (Jumaat) – Seorang juragan bot penumpang bertindak terjun ke laut untuk mengelak daripada ditangkap sebaik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau mengesan bot yang dijuraganinya bergerak secara melulu menuju masuk ke sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu, juragan bot berkenaan gagal dikesan dipercayai berenang ke hutan bakau berhampiran.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam dalam kenyataan berkata, pihaknya yang menjalankan Operasi Pluto Timur kemudiannya membuat pemeriksaan terhadap bot penumpang yang ditinggalkan menemui 26 tong gas LPG.

Beliau berkata, turut ditemui dua jerikin berisi minyak petrol yang disyaki untuk diseludup keluar dari negara ini.

Kesemua rampasan termasuk bot penumpang dianggarkan 23-ribu ringgit dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

#BESTAWAUfm

Komen