Jumlah pendaki Kinabalu dinaikkan 165 orang setiap hari

Jumlah pendaki Kinabalu dinaikkan 165 orang setiap hari

RANAU – Jumlah pendaki Gunung Kinabalu dinaikkan kepada 165 orang setiap hari berikutan pembukaan dua blok penginapan baharu di Panalaban bermula esok.

Dua blok baharu itu diberi nama Mokodau dan Kinateki yang dikendalikan Taman-Taman Sabah (TTS) dikenali sebagai Hostel Panalaban yang setiap blok mempunyai 25 katil.

Pengarah TTS Dr Jamili Nais berkata pada pembukaan peringkat awal hostel itu yang dikendali oleh TTS hanya 30 katil dibuka kepada pendaki.

Katanya ini menjadikan jumlah pendaki dinaikkan daripada 135 orang kepada 165 orang setiap hari.

Sebelum ini TTS mengehadkan jumlah pendaki dari 194 orang kepada 135 orang selepas kejadian gempa bumi pada 2015, katanya pada majlis makan malam meraikan media yang menyertai program pendakian sempena pembukaan Hostel Panalaban di Taman Kinabalu dekat sini malam tadi.

Menurutnya kos pembinaan dua blok baru pusat penginapan itu berjumlah RM12 juta menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Katanya ia turut membabitkan pembinaan satu pejabat operasi untuk malim gunung dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar), pondok pemeriksaan dan sebuah tempat penginapan untuk malim gunung dan Potter (Pengangkat Barang).

Jamili berkata pada masa akan datang, pihaknya akan menambah jumlah pendaki kepada 185 orang.

Mengenai pusat penginapan Gunting Lagadan, beliau berkata pusat penginapan di Gunting Lagadan dikendali oleh Sutera Sanctuary Lodge ditutup atas faktor keselamatan, iaitu risiko gelongsoran batu.

Sementara itu, acara pelepasan program pendakian gunung Kinabalu bersama rakan media sempena pembukaan Hostel Panalaban dilepaskan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri William Baya di Pondok Timpohon Taman Kinabalu pagi tadi.

Seramai 49 wakil media dan staf TTS termasuk Jamili menyertai program itu.- Bernama

Komen