JHL pantau penjualan telur penyu di Sandakan

JHL pantau penjualan telur penyu di Sandakan

SANDAKAN, 16 Okt (Bernama) — Jabatan Hidupan Liar (JHL) meningkatkan usaha membanteras penjualan telur penyu secara haram di bandar Sandakan dengan memasang kanopi bagi memudahkan anggotanya membuat pemantauan.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan Hussein Muin berkata pada peringkat awal, dua kanopi akan dipasang di dua lokasi yang telah dikenal pasti dengan pelaksanaan pemantauan tersebut turut melibatkan anggota Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

Aktiviti ini akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini bagi membanteras penjualan telur penyu secara haram di daerah ini khususnya di kawasan bandar Sandakan daripada berleluasa, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya pemantauan secara berterusan dilaksanakan untuk membanteras aktiviti penjualan telur penyu secara haram di daerah ini yang masih berlaku disebabkan adanya permintaan.

Katanya dengan adanya kehadiran anggota penguatkuasa dari jabatan itu dan MPS di kanopi itu diharap akan dapat menghalang aktiviti itu daripada berleluasa.

Beliau mengulangi amaran kepada orang ramai supaya tidak berurusniaga penjualan telur penyu yang boleh disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 41 (1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Dibawah enakmen itu, mereka yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM250,000 dan penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada lima tahun.

Dalam pada itu, bagi menyokong usaha itu, Persatuan Pencinta dan Pemuliharaan Hidupan Penyu Negeri Sabah (Foster) menyumbang dua set peralatan kanopi, meja dan bangku.

Sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Presiden persatuan itu Alexander Yee kepada Hussein di pejabatnya di sini.

Menurut Alexander pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan JHL dengan menyediakan peralatan diperlukan untuk memantau aktiviti penjualan telur penyu secara haram di daerah ini.

“Kami mengharapkan, orang awam memberikan sokongan kepada usaha ini dengan tidak membeli telur penyu dan melaporkan kepada pihak JHL jika melihat mereka yang terlibat dalam akiviti itu,” katanya.

Persatuan itu aktif dalam program konservasi penyu di negeri ini termasuk mewujudkan pusat penetasan telur penyu di Pulau Libaran dekat sini yang menjadi lokasi penyu hijau dan sisik bertelur di perairan daerah ini.

— BERNAMA

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *