JETI PELANCONG BAKAL DEKATKAN TAWAU DAN PULAU-PULAU DI SEMPORNA

JETI PELANCONG BAKAL DEKATKAN TAWAU DAN PULAU-PULAU DI SEMPORNA

Abdul Muis (dua dari kanan) menjelaskan sesuatu kepada rombongan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Tawau semasa lawatan kerja di Tawau. – Gambar SNT / Ehsan Kementerian Pembangunan Infrastruktur

TAWAU: Kerajaan bercadang mewujudkan satu jeti pelancongan untuk operasi feri ekspres pelancong di antara Tawau dan pulau-pulau menarik di Semporna sebagai usaha merancakkan lagi ekonomi dan sektor pelancongan di daerah ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Datuk Abdul Muis Picho berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, jabatan-jabatan yang berkaitan akan diminta mengkaji cadangan tersebut.

“Saya telah meminta Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) supaya memanggil jabatan-jabatan seperti Jabatan Pelabuhan dan Dermaga, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan sebagainya untuk bermesyuarat tentang perkara ini.

Abdul Muis (dua dari kiri) ditemubual pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Tawau. – Gambar SNT / Ehsan Kementerian Pembangunan Infrastruktur

“Saya menjangkakan mesyuarat bagi membincangkan perkara ini akan diadakan dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bersama Pegawai Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Tawau, Akli@Nazley Abdul, di sini hari ini.

Abdul Muis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik berkata, banyak perkara yang perlu dibincang dan dikaji seperti cadangan tapak jeti, laluan laut yang bakal digunakan dan aspek keselamatan di laluan tersebut.

“Setiap tahun ramai pelancong termasuk dari China tiba di Lapangan Terbang Tawau. Malangnya, mereka tidak singgah ke Tawau tetapi terus pergi ke Semporna melalui jalan darat dan berkunjung ke Pulau Sipadan dan pulau-pulau lain yang menarik.

“Melalui usaha ini, kita berharap dapat menarik lebih ramai pelancong ke Tawau. Jarak laluan laut dari Tawau ke Pulau Sipadan juga adalah lebih dekat berbanding laluan sedia ada melalui Semporna,” katanya.

Dalam lawatan kerjanya, Abdul Muis turut meninjau keadaan jeti yang bakal digunakan untuk lokasi bagi peniaga yang menjalankan perniagaan sistem barter atau tukar barang di daerah ini, bermula tahun depan. – SabahNewsToday

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Komen