Jenayah pecah rumah di Tawau menurun

Jenayah pecah rumah di Tawau menurun

TAWAU: Daerah ini merekodkan 41 kes pecah rumah sepanjang tahun lalu, iaitu penurunan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata sebanyak 451 tangkapan dibuat berkaitan kes pemilikan dadah untuk semua kategori membabitkan keseluruhan 325 kes dicatatkan.

“Bagi kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sebanyak 22 kes direkodkan membabitkan 60 tangkapan, manakala bagi kes di bawah Seksyen 39A (1) dan 39A (2) masing-masing 70 dan 98 tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 39 penerima terdiri daripada pegawai dan anggota serta kakitangan sokongan IPD Tawau.

Sementara itu, Fadil berkata, bagi meningkatkan lagi keselamatan dan membanteras jenayah untuk tahun ini, pihaknya memberi fokus kepada usaha memelihara Integriti dan menghindari rasuah, memerangi judi, jenayah bersindiket dan gangsterisme.

“Polis akan terus berusaha mengekalkan ketenteraman awam selain mengawal jenayah secara menyeluruh dengan agresif di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, IPD Tawau menunjukkan pencapaian yang baik sepanjang tahun 2017 hasil usaha dan komitmen semua pegawai dan anggotanya.

“Justeru, saya berharap warga IPD Tawau di setiap peringkat meneruskan usaha bagi memastikan tanggungjawab membanteras jenayah dapat dilaksanakan dengan berkesan seiring cabaran akan datang,” katanya.

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Artikel ini di siarkan pada 5 januari 2018 di beritaharian

Komen