Jangan lengahkan projek pembangunan – Shafie

Jangan lengahkan projek pembangunan – Shafie

KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegur segelintir pegawai daerah di negeri ini yang didapati melengahkan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan masing-masing walaupun sudah disalurkan peruntukan secukupnya.

Shafie ketika membuat teguran itu, berkata kesemua projek pembangunan dirancang itu perlu dipercepatkan, dengan pelaksanaannya mesti mengikut jadual ditetapkan untuk manfaat rakyat, selain mampu menjadi pemangkin kemajuan di daerah masing-masing.

“Tiada alasan untuk melengahkan pelaksanaan projek pembangunan itu, lebih-lebih lagi kerajaan sudah menyalurkan peruntukan ke semua daerah.

“Malangnya, pelaksanaan projek sangat lambat,” katanya pada pertemuan dengan pegawai daerah dari seluruh negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini semalam.

Terdahulu, Mohd Shafie turut menekankan kepentingan mentadbir dan mengurus kawasan dalam bidang kuasa masing-masing secara sistematik untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kebanyakan daerah di negeri ini berdepan masalah perancangan berikutan ada daerah menempatkan pelbagai jenis premis seperti rumah ibadat, bengkel kereta dan restoran bersebelahan antara satu sama lain.

“Zon kawasan tidak dilaksanakan mengikut perancangan. Sekolah dibina di lokasi yang sudah dizonkan untuk tujuan perindustrian.

“Kemudiannya, sekolah perlu dipindahkan untuk memberi laluan kepada taman perindustrian. Ini bukan saja tidak menyelesakan malah membabitkan belanja yang besar, semuanya hanya kerana perancangan yang tidak baik,” katanya.

Mohd Shafie turut menekankan mengenai kepentingan mengekalkan kualiti dan piawaian kerja khususnya dalam memastikan projek pembangunan bukan saja mencapai kumpulan sasar, malah memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, keutamaan harus diberikan kepada perkhidmatan untuk rakyat dan usaha menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Beliau menggesa pegawai daerah supaya memahami dengan baik daerah masing-masing dengan kerap turun padang untuk mengenal pasti infrastruktur yang masih kurang dan isu sosial bagi menentukan perkara yang perlu diberi perhatian.

“Cari apa masalah sebenar di daerah masing-masing. Daerah seperti Lahad Datu di mana isu keselamatan mendapat perhatian, Pegawai Daerah mesti meletakkan isu itu sebagai keutamaan tertinggi,” katanya.

Mohd Shafie turut mengingatkan pegawai daerah supaya menggunakan pelbagai sumber bagi mencari jalan menyelesaikan masalah yang memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan menyediakan maklum balas berterusan mengenai perkembangan projek di daerah masing-masing. -Bharian

Komen