Jalan Habib Sheikh Bandar Sabindo Tawau ditutup setiap Ahad untuk Tamu

Jalan Habib Sheikh Bandar Sabindo Tawau ditutup setiap Ahad untuk Tamu

TAWAU 12 Julai (Bernama) — Majlis Perbandaran Tawau (MPT) mengingatkan orang awam agar tidak meletakkan kenderaan di Jalan Habib Sheikh Bandar Sabindo pada setiap Ahad. Presiden MPT, Ir Amrullah Kamal berkata arahan itu bagi memberi laluan kepada peniaga Tamu Ahad Sabindo (TAS) untuk berniaga di jalan tersebut.

“Orang awam diminta mengosongkan petak meletakkan kenderaan di sepanjang jalan tersebut bermula jam 12.01 tengah malam,” katanya ketika dihubungi Bernama. Amrullah berkata kenderaan tunda akan digunakan untuk mengalihkan kenderaan yang gagal mematuhi arahan terbabit. “Pihak MPT tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan kenderaan orang awam sekiranya tindakan sedemikian di ambil,” katanya.

Menurutnya, notis awam berkenaan perkara itu juga sudah dikeluarkan dan diharap semua pemilik kenderaan memberi kerjasama sepenuhnya kepada peniaga TAS dan MPT. TAS, kawasan tarikan pelancong baharu bagi Tawau, yang mula beroperasi pada 30 Jun lepas, menempatkan 704 penjaja pelbagai barangan dijangka mampu merancakkan ekonomi daerah dan penduduk setempat.

Tamu Ahad itu yang menggantikan Pasar Tamu Takada di Jalan Kuhara bukan sahaja melancarkan pergerakan trafik malah memberi keselesaan kepada penjaja berniaga dan pengunjung untuk membeli-belah. Terdapat lebih 1,000 petak parkir di kawasan berkenaan untuk kemudahan pengunjung dan tapak penjaja yang lebih teratur sehingga berupaya menempatkan 704 lot gerai berbanding 311 gerai di Tamu Takada. — BERNAMA

Komen