Jajaran baharu RM4 bilion hubungkan Sarawak-Sabah dalam perancangan

Jajaran baharu RM4 bilion hubungkan Sarawak-Sabah dalam perancangan

MARUDI: Sejumlah RM4 bilion dijangka diperuntukkan bagi membina jajaran baharu Projek Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sarawak-Sabah tanpa merentasi Brunei.

Zahrul Hakim (kiri) melakukan tinjauan awal cadangan projek pembinaan Jalan Hubungan Laluan Sarawak-Sabah. – NSTP/Kandau Sidi

Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan Kementerian Kerjaraya, Datuk Zahrul Hakim Abdullah, berkata projek itu bakal dilaksanakan secara berperingkat mengikut keupayaan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Satu kajian awal akan dibuat bagi mengenalpasti laluan yang bakal dilalui laluan itu selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Kita akan melantik perunding bagi melakukan kajian terperinci untuk projek ini” katanya ketika membuat tinjauan awal laluan projek itu dari Bandaraya Miri ke Long Lama, Long Atip, Long Bedian dan Long Kevok, di sini, hari ini.

Beliau berkata keseluruhan jarak laluan yang dicadangkan untuk pembinaan jalan itu kira-kira 400 kilometer, merentasi banyak kawasan penempatan di pedalaman wilayah utara negeri, termasuk Long Seridan, Long Luping terus ke Lawas sebelum memasuki Sabah.

“Laluan itu, apabila siap, bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar di wilayah utara negeri ini.

“Ia termasuk kepada penduduk di kawasan Long Semadoh, Ba’kelalan dan Bario,” katanya.

Beliau berkata, jajaran baharu itu juga dijangka mampu memberi kesan positif kepada ekonomi penduduk luar bandar termasuk industri pelancongan. – Berita Harian

Komen