Isu permohonan tanah tertangguh 20-30 tahun sangat serius

Isu permohonan tanah tertangguh 20-30 tahun sangat serius

SAFAR (tengah) menyemak dokumen salah seorang pengadu (kiri), sambil diperhatikan oleh Jimmy (kanan).

TAWAU: Isu permohonan tanah tertangguh selama 20 sehingga 30 tahun disifatkan sangat serius dan memerlukan perhatian segera Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong berkata proses permohonan yang memakan masa lama menjadi isu utama dan perlu dipercepatkan.

“Pada era digital, pengurusan permohonan boleh dilakukan dalam masa singkat dengan adanya teknologi canggih dan JTU diharap dapat memperkenalkan sistem baharu.

“Sepengetahuan saya, mereka di Semenanjung mempunyai satu sistem atas talian untuk proses ‘conversion’ seperti di Pahang yang mengambil masa satu hari,” katanya.

Jimmy berkata demikian sempena Majlis Perjumpaan dan Sesi Dialog Bersama Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah di sini pada Isnin, yang dianjurkan DAP Tawau.

Sempena majlis itu, Utusan Borneo difahamkan seramai kira-kira 300 aduan direkodkan oleh penganjur daripada rakyat di sekitar Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak.

“Kes penukaran pemilikan hak tanpa pengetahuan pemilik tanah juga berlaku apabila ada geran tanah ditahan di JTU memegang Perjanjian Jual Beli sebagai bukti pemilik sah.

“Malah, ada kes penukaran hak milik tanah dilakukan tanpa dokumen rasmi seperti ‘Deed of Assignment’, dan saya terkejut apabila mengetahui kewujudan masalah sebegini.

“Saya tidak akan bertoleransi berkenaan penukaran hak milik secara haram dan akan mengumpul serta menyerahkan semua dokumen pemilik tanah kepada Pengarah JTU.

“Jika perlu, kita akan buat laporan polis,” katanya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung, dan mengesahkan majlis dialog itu akan diadakan secara tahunan.

Turut menarik perhatiannya, masalah wang pampasan yang belum diterima daripada pengambilan tanah oleh kerajaan seperti Gudang Empat untuk Empangan Cinta Mata.

Begitu juga dengan nasib yang menimpa pemilik-pemilik tanah di sekitar kawasan Jalan Airport Tawau yang diambil alih untuk tujuan pembinaan lebih raya Tawau-Sandakan.

“Kerajaan Baharu komited menolong rakyat menyelesaikan masalah berkaitan tanah dan diharap rakyat bersabar kerana rombakan sistem lama memerlukan masa,” katanya.

Pengarah JTU Sabah Datuk Safar Untong pula berkata ramai yang mengadu isu pindah milik hak tanah, pembayaran pampasan, permohonan tanah dan penukaran syarat tanah.

Bagaimanapun, Safar berkata pihaknya sudah memberikan maklum-balas kepada pemilik-pemilik tanah terlibat dan ada yang dapat diselesaikan pada majlis terbabit.

“Ada juga kes yang kita akan rujuk kepada maklumat di ibu pejabat terlebih dahulu,” katanya, yang turut terlibat menangani aduan pengadu secara langsung pada majlis itu.

Mengulas lanjut, beliau menasihati penduduk yang mempunyai masalah berhubung isu tanah untuk tampil ke kaunter pejabat JTU dan membawa rujukan permohonan lengkap.

Sekiranya sesebuah kes yang diajukan tidak dapat diselesaikan di peringkat cawangan, beliau berkata kes terbabit akan dikemukakan kepada ibu pejabat di Kota Kinabalu.

oleh UtusanBorneo.com.my

Komen