Isu harga tiket penerbangan mahal dibawa ke Kabinet

Isu harga tiket penerbangan mahal dibawa ke Kabinet

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. NSTP/Syarafiq Abd Samad.

KUALA LUMPUR: Isu harga tiket penerbangan ke Sabah yang mahal sempena sambutan Aidilfitri awal bulan depan akan diselesaikan Rabu ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata isu terbabit akan dibawa ke pengetahuan Kabinet terutama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

“Insya-Allah, Rabu ini saya akan jumpa Menteri Pengangkutan untuk sampaikan keluhan terbabit. Mereka ini (rakyat Sabah) ramai nak balik raya tetapi tiket mahal.

“Saya tidak tahulah (dakwaan terbabit) tetapi dengar kata, tiket mahal. Kita akan tengok apa yang boleh dilakukan Rabu ini. Sekiranya saya tidak sabar.. Isnin ini, saya pergi pejabat Menteri Pengangkutan dan mencari beliau (Loke) untuk selesaikan masalah rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Silam.

Beliau berkata demikian selepas program Iftar Perdana @ Kuala Lumpur di Dataran Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Baru-baru ini, isu harga tiket penerbangan domestik dan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau yang mahal sehingga mencecah ribuan ringgit, menjadi topik hangat di media sosial.

Rata-rata penduduk Sabah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap harga tiket penerbangan yang dianggap seperti untuk perjalanan ke luar negara.

Sementara itu, mengulas mengenai Iftar Perdana @ Kuala Lumpur, Mohamaddin berkata, kehadiran yang mencecah 15,000 orang menunjukkan program itu berjaya.

“Ia lebih meriah apabila terdapatnya pengunjung berbilang bangsa dan pelancong luar negara yang turut serta dalam program ini,” katanya. –bharian

Komen