Imigresen: Satu pertiga penduduk Sabah warga asing

Imigresen: Satu pertiga penduduk Sabah warga asing

KOTA KINABALU: Hampir 1/3 penduduk Sabah merupakan warga asing tetapi hanya 30% daripadanya masuk secara sah manakala majoriti dikelaskan sebagai pendatang tanpa izin, kata Pengarah Imigresen Sabah Musa Sulaiman.

Secara keseluruhannya, Sabah dilaporkan dihuni 1.2 juta warga asing daripada 3.9 juta penduduk.

Di Kinabatangan, jumlah warga asing lebih tinggi daripada warga tempatan kerana ladang sawit yang luas yang biasanya menggunakan tenaga kerja dari Indonesia dan Filipina.

Walaupun begitu, Tawau merekodkan jumlah pendatang asing tertinggi iaitu seramai 180,000 orang, diikuti Sandakan dan Kota Kinabalu.

Musa berkata, kira-kira 450,000 daripada warga asing adalah pendatang asing tanpa izin dan 250,000 lagi diletakkan di bawah pengurusan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS).

Gambar hiasan

“Mereka yang berada di bawah pengurusan JKPWAS terdiri daripada penduduk sementara, anak pelarian yang tidak mempunyai kad IMM13, orang yang mempunyai dokumen tetapi bukan terbitan imigresen, anak hasil perkahwinan orang tempatan dengan pendatang asing tanpa izin, orang Palauh yang umumnya dianggap tidak bernegara kerana gaya hidup mereka yang berpindah-randah.

Musa membuat kenyataan itu dalam satu kertas seminar yang disampaikan bagi pihak beliau oleh Lily Surayani Raona, yang mengetuai bahagian perancangan strategik Imigrsen Sabah.

Katanya JKPWAS juga bertanggungjawab ke atas pengurusan individu tanpa kerakyatan, tanpa beliau memberikan angka berkaitan mereka.

Merujuk kepada pendatang tanpa izin, Musa berkata sebahagian mereka masuk ke Malaysia secara sah tetapi menjadi tidak sah setetal tinggal di Sabah melebihi tempoh.

“Tetapi majoriti mereka masuk melalui laluan tikus di sempadan,” katanya, “termasuk mereka yang dilahirkan pendatang tanpa izin dan yang bergantung kepada pemegang pas masuk.”

Beliau berkata, salah satu masalah menyekat kemasukan pendatang tanpa izin ialah kewujudan sindiket yang disayaki menyeludup mereka masuk, kebanyakannya untuk bekerja di ladang kelapa sawit.

Selain itu katanya, sebilangan pendatang tanpa izin dilindungi oleh orang tempatan yang menggunakan mereka sebagai buruh murah atau sekadar mengasihani mereka.

“Tahun ini sahaja, kita menjalankan 1,010 operasi untuk mencari pendatang asing tanpa izin ini. Seramai 21,198 orang diperiksa dan 8,744 pendatang asing tanpa izin ditangkap.

Daripada 3,309 pendatang asing tanpa izin yang ditangkap, 72% berasal dari Filipina, 25% dari Indonesia dan selebihnya dari negara lain termasuk Pakistan, China, India, Thailand, Vietnam dan Myanmar.

Jabatan itu mengusir 10,074 pendatang asing tanpa izin pada tahun ini sahaja, lebih rendah berbanding jumlah pendatang haram yang masih berada di negeri itu.

Gambar hiasan

Musa berkata usaha membersihkan Sabah daripada pendatang asing tanpa izin adalah satu tanggungjawab yang besar dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan persekutuan diperlukan untuk menangani masalah yang tidak berkesudahan itu.

“Bagaimanapun, kami cuba sebaik mungkin melalui pelbagai inisiatif termasuk menjalankan operasi bersama secara kerap dengan pasukan penguatkuasaan keselamatan lain, memberikan pas kemastautinan, pemprofilan pendatang asing tanpa izin dan menjalankan program pengambilan semula pekerja asing,” katanya.

Free malaysia today September 30, 2018 10:52 AM

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *