Imigresen Sabah tumpaskan sindiket penipuan dalam talian

Imigresen Sabah tumpaskan sindiket penipuan dalam talian

Muhamad Sade (empat dari kiri) bersama barang-barang rampasan ketika mengadakan sidang media mengenai kejayaan Jabatan Imigresen Sabah menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China yang menjalankan operasi aktiviti penipuan berkenaan di sini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian membabitkan warga China selepas menahan 104 warganegara itu dalam serbuan di tiga lokasi sekitar Kompleks Beli Belah 1Borneo di sini, semalam.

Mereka yang berusia antara 18 hingga 39 tahun, dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian yang berpusat di China dan disyaki beroperasi sejak dua bulan lalu.

Serbuan pada jam 4 petang itu membabitkan sebuah bangunan dua tingkat di pusat membeli belah itu, dua unit kondominium di 1B Tower B Condominium dan lima unit di 1B Tower C Condominium.

Seramai 41 pegawai dan anggota Imigresen menyerbu premis itu dengan bangunan dua tingkat dipercayai berfungsi sebagai pusat panggilan, susulan risikan sejak seminggu lalu hasil aduan awam.

Hasil serbuan itu, sebanyak 916 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 348 keping kad sim, 64 unit komputer riba dan 28 unit komputer peribadi dirampas.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin, berkata modus operasi sindiket itu adalah menyasarkan mangsa di China dengan menawarkan keuntungan yang tinggi dan segera.

Modus operandi sindiket itu hampir sama dengan kes tangkapan 680 warga China di Cyberjaya pada 20 November lalu.

“Operator ini akan menghantar satu kod kepada pelanggan dari laman web tertentu yang menggunakan bahasa Cina dalam aplikasinya. Semua urus niaga dan pembayaran dilakukan melalui Wechat Pay atau bank di China,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kawasan premis itu dilengkapi ciri keselamatan ketat dengan hanya mereka yang mempunyai kad akses boleh masuk, selain ada rangkaian kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan keluar masuk.

Muhamad Sade berkata, siasatan awal mendapati semua suspek iaitu 94 lelaki dan 10 perempuan itu tinggal di negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Daripada jumlah itu, 68 orang gagal mengemukakan pasport. Pihak Kedutaan China di negara ini juga akan dimaklumkan berhubung perkara ini.

“Kami akan mengesan saki baki sindiket dengan meneruskan pemantauan serta risikan manakala tindakan penyitaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) terhadap barang rampasan akan dijalankan bagi tujuan siasatan,” katanya.

Jabatan Imigresen juga akan mengesan individu di belakang sindiket terbabit dan akan menyalurkan maklumat berkaitan kepada agensi lain seperti Bank Negara Malaysia (BNM), polis, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
-Bharian

Komen