‘Imam’ tolak bala

‘Imam’ tolak bala

ORANG ramai dipercayai menjalankan amalan khurafat dengan mengadakan upacara mandi di Pantai Pasir Putih, Sandakan bagi menolak bala.

Hazsyah Abdul Rahman

cnews@nstp.com.my

SANDAKAN: Ratusan orang ramai dikesan menjalankan amalan khurafat dengan mengadakan upacara mandi di Pantai Pasir Putih di sini, pagi semalam, dipercayai untuk menolak bala.

Amalan yang menjadi kepercayaan sesetengah etnik itu mendapat perhatian pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan yang menjalankan Op Safar sejurus menerima maklumat mengenainya.

Ketua Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, Romzi Rahman berkata, operasi itu disertai sepasukan petugas JHEAINS bagi menangani kepercayaan sesetengah etnik di daerah ini kononnya menolak bala dengan mandi di laut.

“Seorang ‘imam’ akan memandikan mereka di laut kononnya untuk menolak bala.

“Berdasarkan maklumat, mereka menjalankan upacara itu setiap Rabu sepanjang Safar (kalendar) Hijrah ini.

“Oleh itu, kami terpanggil dan menyantuni mereka terus dalam memberi kefahaman sebenar.

“Alhamdulillah, kami mengadakan ceramah terus di lokasi agar mereka dapat mendengar dan memahami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Romzi berkata, aktiviti berkenaan bertentangan syariat Islam dan bersyukur kerana mereka yang terbabit dapat menerima penjelasan diberikan.

“Mereka turut bersurai dan pulang apabila kami meminta mereka tidak meneruskan upacara berkenaan, Alhamdulillah.

“Pihak kami akan meneruskan operasi pada setiap Rabu dan sekiranya masih ada individu menjalankan kegiatan itu, tindakan mengikut undang-undang syariah akan diambil,” katanya.

Romzi berkata, orang ramai yang tahu atau terlihat berkaitan upacara itu boleh memaklumkan kepada JHEAINS supaya ia dapat segera ditangani.

“Kami juga ingin perbetulkan (dakwaan) tular di Facebook kononnya aktiviti khurafat itu turut membabitkan penggunaan ayam dan darah ayam.

“Ia tidak sampai ke tahap itu, hanya dimandikan dan apa yang ditularkan itu tidak benar sama sekali.

“Selain itu, pihak kami ingin menafikan dakwaan yang tular kononnya kami tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti berkenaan,” katanya.

-hmetro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 9:21 AM

Komen