IBU SETUJU SERAH ANAK KEPADA JABATAN KEBAJIKAN BAGI PEMANTAUAN DAN PEMULIHAN

IBU SETUJU SERAH ANAK KEPADA JABATAN KEBAJIKAN BAGI PEMANTAUAN DAN PEMULIHAN

TAWAU : Pelajar perempuan tingkatan dua yang dirogol oleh dua daripada tujuh pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di sini, bulan lalu, diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Difahamkan menerusi satu prosiding mahkamah Rabu lalu, ibu mangsa bersetuju menyerahkan remaja perempuan terbabit dibawah jagaan JKM bagi tujuan pemantauan dan pemulihan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika ditemui media hari ini mengesahkan perkara berkenaan.

“Ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan anaknya kepada JKM atas faktor keselamatan dan kebajikan.

“Dalam masa sama saya difahamkan JKM juga akan menguruskan penempatan sekolah baharu yang bersesuaian buat mangsa,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya masih menunggu keputusan hasil siasatan Jabatan Kimia dan Forensik berhubung kes rogol berkenaan.

Tambah Peter, pihaknya akan mengemukakan semua maklumat yang diperoleh kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

“Ia termasuk berkaitan seksyen jika ada pendakwaan atau sebaliknya,” katanya.

Pada 16 November lalu polis menahan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun selepas didakwa terbabit kes merogol seorang pelajar tingkatan dua di bilik suis sekolah menengah, di sini.

Kejadian itu disedari seorang guru wanita yang menemui mangsa dalam keadaan separuh bogel sebelum mangsa mengaku mengadakan hubungan seks dengan dua pelajar lelaki.

Empat lagi suspek melakukan seks oral kepada mangsa manakala seorang lagi bertindak merakam aksi terbabit.

Semua suspek berjaya ditahan dan direman selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka menduduki SPM di pusat peperiksaan masing-masing. – SabahNewsToday

Komen