Ibu baru bersalin jalan kaki 5 km, redah sungai ke klinik

Ibu baru bersalin jalan kaki 5 km, redah sungai ke klinik

PAPAR: Seorang ibu baru bersalin terpaksa berjalan kaki kira-kira lima kilometer dengan dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bongawan dari Kampung Maihang, Ulu Bongawan, di sini, kelmarin.

Ia berikutan jalan masuk ke kampung itu terputus akibat tanah runtuh hingga tidak dapat dimasuki kenderaan akibat hujan lebat berterusan dan banjir sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, akibat laluan yang terputus itu, ibu berkenaan terpaksa bersalin di rumah tanpa kehadiran doktor atau jururawat, menyebabkan ahli keluarganya bimbang kemungkinan berlaku komplikasi selepas bersalin.

Ahli keluarganya kemudian menghubungi jururawat di Klinik Desa Tibabar, di sini, untuk mendapatkan bantuan, namun disebabkan laluan terputus selain terpaksa mengharungi sungai berarus deras, bantuan tidak dapat disegerakan.

Jururawat Masyarakat Klinik Desa Tibabar, Evelyn Brimus, berkata pihaknya menghubung APM Papar untuk mendapatkan bantuan anggota dan logistik kerana menghadapi kesukaran untuk ke rumah ibu terbabit.

“Keluarga ibu berkenaan menghubungi Klinik Desa Tibabar memaklumkan dia melahirkan anak di rumah kerana tidak dapat keluar ke hospital disebabkan tanah runtuh dan banjir.

“Talian telefon di sana agak terbatas dan difahamkan ahli keluarga ibu terbabit terpaksa ke tempat tinggi untuk mencari rangkaian telefon bagi menghubungi pihak kami. Saya terus menghubungi APM Papar bagi mendapatkan bantuan.

“Apabila kami sampai di lokasi, keadaan si ibu stabil tetapi tali pusat bayinya belum dipotong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam APM Papar, Leftenan (PA) Abdul Razaq Basir, berkata pihaknya menerima panggilan daripada jururawat Klinik Desa Tibabar pada jam 7.03 pagi sebelum bergegas ke Kampung Maihang dengan diiringi dua jururawat dari klinik terbabit.

“Sejurus menerima panggilan itu, pihak kami dan dua orang jururawat berkenaan bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu membawa ibu berkenaan dan bayinya ke Klinik Kesihatan Bongawan bagi mendapatkan rawatan.

“Akibat tanah runtuh dan banjir, ibu itu perlu jalan kaki keluar sejauh lima kilometer setelah mengharungi satu sungai dan tiga tanah runtuh. Rumah mereka di seberang sungai dan oleh kerana arus sungai deras, mereka tidak dapat menyeberanginya.

“Ibu itu terpaksa terpaksa bertahan sehingga keesokan pagi, namun apabila pasukan penyelamat tiba, air sungai sudah mula surut,” katanya.

Abdul Razaq berkata pihaknya terpaksa menggunakan laluan alternatif selain mengharungi sungai untuk sampai ke rumah mangsa dan membawanya bersama bayi yang baru dilahirkan ke Klinik Kesihatan Bongawan yang jauhnya kira-kira 20 kilometer.

Katanya, anggota APM dan suami mangsa turut dibantu penduduk kampung untuk membuat jalan alternatif bagi memudahkan proses menyelamat.

“Operasi bermula pada jam 8:30 pagi dan tamat pada jam 11 pagi. Ibu dan bayinya juga selamat dibawa ke Klinik Kesihatan Bongawan untuk rawatan selanjutnya,” katanya. -Bharian

Komen