Hikmah & ancaman

Hikmah & ancaman

ANTARA perkara besar yang menjadi kebimbangan para kekasih Allah sebelum meninggal dunia ialah tentang akidah generasinya dan umat tercinta.

Allah SWT menceritakan, “Adakah kamu hadir ketika Ya’qub kedatangan (tanda) maut, ketika dia berkata kepada anaknya: “Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?” Mereka menjawab: “Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (yaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.” Surah al-Baqarah (ayat 133)

Oleh sebab besarnya urusan ini, semua pihak perlu mengambil berat soal akidah terutama terhadap insan di sekelilingnya. Sampaikan fakta dan kebenaran dengan hikmah dan bijaksana.

Perlu diingat, Islam melarang menghina agama lain sebagai tanda adab dan akhlak ketika berbeza pendapat agar keamanan dan keharmonian terus terjaga.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah selain Allah kerana mereka akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” Surah al-An’am (ayat 108)

Namun, usahlah bersikap terlalu takut dilabel menghina agama lain sehingga langsung tidak berdakwah dan langsung tidak mendedahkan fakta dan kebenaran.

Dalam situasi ini, pendekatan Islam selalu seimbang apabila Islam turut melarang menyembunyikan fakta dan kebenaran. Bagaimana kita menegakkan agama ini jika selalu memberi alasan untuk tidak menyampaikan Islam dengan dalil aqli dan naqli hanya kerana takutkan ancaman?

Menerusi firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang Kami turunkan daripada keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat Allah dan dilaknat sekalian makhluk.” Surah al-Baqarah (ayat 159)

Oleh sebab itu, teruskan berani berdakwah dengan pendirian yang jelas walau dilempar tohmah dan fitnah. Itu sunah perjuangan, agar kita lebih membaiki diri, muhasabah kaedah dan strategi serta lebih akrab dengan Ilahi.

Surah Yusuf, Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.” (Ayat 108)

Allah SWT juga menjaga diri pendakwah daripada risiko tekanan perasaan keterlaluan (mental depression disorder) supaya tidak terdorong memaksa orang lain dan melakukan keganasan.

Pada masa sama, Allah SWT meminta pendakwah menerima seadanya (accepting) tentang kewujudan kepelbagaian agama di dunia ini sebagai satu ujian.

Allah SWT juga memelihara diri pendakwah daripada terlalu tertekan dengan soal natijah di atas usaha dakwahnya. Allah SWT mengingatkan bahawa tugas kita hanya menyampaikan, natijah kerja Allah. Rahsia kebahagiaan, fokus kepada apa yang kita boleh kawal.

Ayat ini seirama dan senada dengan ayat lainnya bermaksud: “Kewajibanmu tidak lain hanyalah menyampaikan (risalah).” Surah al-Syura (ayat 48)

“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.” Surah al-Ghasyiyah (ayat 21 hingga 22)

Syekh Wahbah al-Zuhaili menjelaskan dalam Tafsir al-Munir: “Allah SWT melarang Rasul dan orang beriman daripada memaki tuhan kaum musyrikin. Boleh jadi ada kemaslahatan dalam memaki tuhan mereka namun mafsadat (kerosakan) jauh lebih besar iaitu mereka akan membalas dengan memaki Allah melampaui batas, untuk melecehkan orang beriman, tanpa mereka memiliki pengetahuan akan kebesaran Allah. Ini menunjukkan bahawa ketaatan atau kemaslahatan jika membawa kepada kemaksiatan atau kerusakan, maka tinggalkanlah.”

Penulis adalah pendakwah.

Sumber

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *