Hati-hati dengan blog berita online

Hati-hati dengan blog berita online

KOTA BELUD: Golongan muda disaran agar lebih berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh dengan blog berbentuk portal media online menyiarkan berita yang belum pasti kesahihan maklumatnya.

Ketua Wira Warisan Bahagian Kota Belud, Datu Abdul Hafiz Abdullah berkata, ini kerana golongan muda dilihat lebih gemar berkongsi maklumat sensasi tanpa menyemak kebenaran sesuatu berita yang diperolehi mereka.

Katanya, ketika ini begitu banyak portal media online dan blog yang semuanya menyiarkan berita yang belum dikenalpasti kebenarannya menyebabkan mereka terpengaruh dengan laporan berita berkenaan.

Abdul Hafiz memberi ucapan sempena Program Harmoni Peringkat Kampung Suang Punggur di Sekolah Kebangsaan Kampung Suang Punggur, di sini. Gambar SNT/Zakaria Damit
Abdul Hafiz memberi ucapan sempena Program Harmoni Peringkat Kampung Suang Punggur di Sekolah Kebangsaan Kampung Suang Punggur, di sini. Gambar SNT/Zakaria Damit

“Pada peringkat awal mereka perlu menyemak asal usul sesuatu maklumat atau berita tersebut sebelum berkongsi kepada rakan-rakan lain terutama dalam laman sosial media.

“Berkongsi maklumat yang tidak betul atau sahih juga boleh mengugat keharmonian masyarakat berbilangan kaum di negeri ini terutama di kawasan Parlimen Kota Belud,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Harmoni Peringkat Kampung Suang Punggur di Sekolah Kebangsaan Kampung Suang Punggur, di Kota Belud.

Dalam majlis itu, Datu Abdul Hafiz menyumbang pelbagai hadiah yang menarik minat lebih 300 golongan belia hadir sekaligus menyatakan sokongan terhadap program yang dianjurkan Wira Warisan Bahagian Kota Belud.

Sementara itu, Datu Abdul Hafiz menggesa agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau setiap laporan portal berita online yang sering menyiarkan berita yang tidak tepat.

Sebagai contoh katanya, Ahli Parlimen Kota Belud merangkap Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Isnaraissah Munirah Majilis baru-baru ini yang terpalit sengan laporan portal berita yang tidak betul.

“Jika tidak dipantau kemungkinan besar pemilik portal berita online ini akan lebih berani menyiarkan berita palsu sekaligus menjejaskan reputasi individu terbabit,” katanya.

Oleh: Zakaria Damit -SabahNewsToday

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *