Hak pemilikan SESB akan dikembalikan kepada kerajaan Sabah

Hak pemilikan SESB akan dikembalikan kepada kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memulangkan semula hak pemilikan syarikat pembekal elektrik, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri.

Keputusan itu disampaikan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa lawatan kerjanya ke Sabah, hari ini.

Yeo berkata, pihaknya mensasarkan tempoh masa dua tahun sebelum pemulangan hak pemilikan itu dapat dilakukan.

Katanya, dua jawatankuasa atau task force membabitkan aspek kewangan dan teknikal akan diwujudkan bagi mengenal pasti segala permasalahan sebelum proses pemulangan itu direalisasikan.

“Dua jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi membincangkan hak pemilikan semula. Ini kerana kita sedar bekalan di Sabah berdepan pelbagai cabaran malah yang tertinggi di Malaysia.

“Pemulangan hak pemilikan SESB kepada Sabah akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini. Kita harap ia boleh membawa perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan merangkumi pegawai SESB dan kementeriannya bagi merangka rancangan rombakan semula bagi melancarkan proses pemulangan hak pemilikan itu.

Katanya, tempoh masa dua tahun itu diberikan bagi memberi ruang kepada jawatankuasa mengenalpasti masalah termasuk perundangan supaya tidak ada pertindihan kuasa.

“Secara umumnya kerajaan Persekutuan bersetuju dengan pelan pemulangan hak pemilikan ini dan proses ini akan dimulakan serta merta.

“Sebarang keputusan perbincangan akan diumumkan dari semasa ke semasa supaya rakyat tahu perkembangan proses ini,” katanya.

Yeo berkata, sepanjang tempoh itu, kerajaan Persekutuan juga memutuskan tiada sebarang perubahan tarif harga bekalan elektrik di negeri ini bagi tahun 2019.

Katanya, pemulangan hak pemilikan ini juga bukan bermaksud kerajaan Persekutuan tidak lagi membantu mempertingkatkan bekalan elektrik di Sabah, sebaliknya memberi ruang kepada penambahbaikan yang lebih baik

Sumber : BERITA HARIAN

Komen