Haa… korang buat apa tu?

Haa… korang buat apa tu?

SEKUMPULAN kanak-kanak membuat kecoh di premis dobi di Jalan Haji Karim, Tawau. FOTO Tular

Abdul Rahemang Taiming

cnews@nstp.com.my

SEKUMPULAN kanak-kanak dikesan berperangai tidak senonoh di kedai dobi layan diri di Jalan Haji Karim, Tawau, semalam.

Pengurus kedai dobi berkenaan, Abdullah Mappiare, 27, berkata, kegiatan kanak-kanak itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Lebih menjijikkan, ada antara mereka membuang air kecil dalam tong sampah yang disediakan.

“Kejadian itu bukan pertama kali, malah sebelum itu kumpulan kanak-kanak sama kerap mencuri barangan untuk kegunaan dobi seperti cecair pelembut pakaian dan bakul.

“Saya pernah terserempak dengan kumpulan kanak-kanak ini sebelum ini dan memberi amaran tetapi tidak diendahkan. Selang beberapa hari mereka datang semula melakukan perkara yang sama.

RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang kanak-kanak kencing di dalam tong sampah disediakan di sebuah premis dobi di Jalan Haji Karim, Tawau. FOTO Tular

“Walaupun mereka tidak merosakkan barangan dan peralatan dobi, tetapi saya khuatir jika sampai satu tahap mereka kencing dalam mesin pencuci pula,” katanya.

Abdullah berkata, sejak beroperasi lebih setahun lalu, premisnya turut menjadi mangsa individu tidak bertanggung jawab termasuk ada yang mencuri tong sampah, pakaian dan peralatan pelanggan yang tertinggal.

Katanya, memandangkan kedai dobi berkonsepkan layan diri itu beroperasi 24 jam, dia hanya memantau premis itu sehingga tengah malam.

“Waktu antara 2 pagi hingga 4 kebiasaannya kelibat kumpulan kanak-kanak ini akan muncul. Selepas ini mungkin saya akan membuat laporan polis bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Rakaman CCTV berdurasi lebih seminit itu, menunjukkan sekumpulan kanak-kanak berlari ke arah beberapa mesin basuh seolah-olah hendak mengambil pakaian pelanggan yang menggunakan perkhidmatan di kedai dobi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 3:58 PM

Komen