GULA PASIR 4,650 KILOGRAM CUBA DISELUDUP KELUAR ANTARA BARANGAN KAWALAN DIRAMPAS MARITIM MALAYSIA

GULA PASIR 4,650 KILOGRAM CUBA DISELUDUP KELUAR ANTARA BARANGAN KAWALAN DIRAMPAS MARITIM MALAYSIA

TAWAU; 11 JULAI 2019 (Khamis) – Maritim Malaysia Tawau menahan sorang juragan tempatan selepas didapati membawa pelbagai barangan kawalan termasuk gula pasir sebanyak 4-ribu 650 kilogram yang disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran, kelmarin

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, bot peronda Zon Maritim Tawau yang sedang menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin sekitar kawasan tanggungjawab telah menahan bot kargo tersebut kira-kira pukul 1.45 tengahari berhampiran muara Sungai Haji Kuning, Tawau.

Katanya, bot kargo berkenaan dalam perjalanan dari jeti Logpond dipercayai menuju ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik. Turut ditahan empat penumpang warga Indonesia terdiri dari dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa berumur lingkungan 43 hingga 64 tahun memiliki dokumen diri dan passport yang sah bagi membantu siasatan.

Sementara itu, selain gula pasir, bot kargo berkenaan turut membawa 200 kilogram tepung gandum Cap Rama-Rama, 250 kilogram tepung gandum Cap Murai dan 697 kilogram minyak masak.

Kesemua barangan tersebut dirampas dan keseluruhan barang rampasan serta bot kargo dianggarkan bernilai hampir 20-ribu ringgit.

Bot kargo berkenaan diiring masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya lagi, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa walaupun Ops Rentas Sempadan bersama ESSCOM telah tamat baru-baru ini. Ini penting bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan dan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat.

Katanya, sebarang maklumat orang awam boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

#BESTAWAUfm

Komen