Finalis Mr Cute Sabah 2018 teruk dikutuk, disamakan dengan haiwan, laporan polis dibuat

Finalis Mr Cute Sabah 2018 teruk dikutuk, disamakan dengan haiwan, laporan polis dibuat

Barisan peserta pertandingan itu yang hangat diperkatakan di laman sosial. FOTO: Facebook Mr Cute Sabah 2018
(Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Pencarian Mr Cute Sabah 2018 memang menerima publisiti meluas, namun ia tidak seperti yang diharapkan.

Ia berikutan kecaman melampau segelintir rakyat di negara ini yang secara terbuka membuat penghinaan terhadap rupa paras dan fikizal finalis pertandingan itu menerusi laman sosial.

Menurut salah seorang peserta, Walter Milter, dia dan barisan peserta lain pada mulanya terkejut apabila menerima maklum balas negatif itu sekitar minggu lalu.

“Bila nampak gambar-gambar kami ditularkan serta dikecam, mestilah terkejut. Tapi saya tidak melatah dengan perkara itu. Bagi saya, tak perlu respon pun.

“Mereka tak kenal saya, saya pun tak kenal mereka. Mereka hakimi berdasarkan sekeping gambar sahaja, jadi tak ada sebab untuk saya balas,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Walter menyifatkan komen-komen tersebut sebagai tidak wajar dan menganggap netizen tidak memahami objektif sebenar pertandingan itu.

Menurut Walter, dia menyokong kebebasan bersuara namun ia perlu digunakan sebaiknya tanpa melampaui batas.

Malah, dia melihat reaksi netizen dalam menghamburkan komen-komen negatif di laman sosial sebagai satu perlakuan yang tidak sihat.

“Sebelum ia tular di seluruh Malaysia, ia mula diperkatakan di Sabah dahulu. Tapi tak adalah semua menghina, ada juga yang memberi sokongan dan kata-kata yang positif.

“Tapi ada sebilangan pengguna media sosial yang samakan rupa kami dengan haiwan, itu pada saya tidak wajar.

“Mungkin mereka tidak tahu objektif pertandingan ini. Ia bukan melihat kepada paras rupa semata-mata tetapi lebih dari itu,” ujar guru berusia 29 tahun itu.

Antara peserta yang menyertai pencarian tersebut.

Dalam pada itu, pengurus acara bagi pertandingan tersebut, Benn Shah, 38, memberitahu dia sudah pun membuat laporan polis berhubung kes tersebut.

Ujarnya, pihak penganjur membuat laporan ke atas beberapa individu yang membuat kenyataan berniat jahat seperti menyamakan acara tersebut seperti sampah, dakwaan mengaut keuntungan dengan harga tiket serta menghina pemakaian rantai tradisi salah seorang peserta.

Acara kemuncak Mr Cute 2018 akan berlangsung pada 10 November depan bertempat di Grand Ballroom, The Klagan Regency 1Borneo, Sabah.

Mereka bakal berentap di pentas akhir pada 10 Oktober depan.

Pertandingan itu menyaksikan penglibatan 20 peserta, 18 orang dari Sabah manakala dua lagi dari Sarawak.

Malah, ia turut menampilkan seorang peserta Orang Kelainan Upaya (OKU), Scholadtica Samudin yang berusia 23 tahun.

Mstar.com.my

Komen