Fi RM5,000 jika lulus guna cermin gelap – Anthony Loke

Fi RM5,000 jika lulus guna cermin gelap – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melihat pegawai JPJ membuat memeriksa kadar ketelusan cahaya pada cermin depan selepas sidang media mengenai pindaan ke atas peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan motor dan turut bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid di Kementerian Pengangkutan. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengenakan fi RM50 ke atas setiap permohonan untuk menggunakan cermin gelap sepenuhnya bagi kenderaan persendirian dan RM5,000 jika diluluskan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata peraturan baharu itu akan terpakai kepada permohonan atas faktor keselamatan, manakala tiada caj dikenakan kepada permohonan atas faktor kesihatan.

Loke berkata, ia berbeza dengan amalan sebelum ini yang mana permohonan penggunaan cermin gelap hanya memerlukan kelulusan Menteri Pengangkutan dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tanpa sebarang fi dikenakan.

“Mana-mana individu boleh memohon untuk menggunakan cermin yang lebih gelap (sama ada lapisan filem atau kaca lebih gelap) bermula esok. Setiap kelulusan yang diberikan adalah untuk tempoh dua tahun.

“Individu yang diluluskan penggunaan cermin lebih gelap hendaklah memohon semula apabila tempoh sah laku tamat dan akan dikenakan fi yang sama dalam setiap permohonannya, sekali gus meningkatkan hasil kerajaan dan ketelusan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Loke berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan diketuai Ketua Pengarah JPJ bagi memproses semua permohonan penggunaan cermin gelap berkenaan.

“Setiap permohonan perlu ada alasan. Selain itu, kita akan membuat pemeriksaan dengan polis kerana pemohon tidak boleh ada kes jenayah dan mesti melunaskan semua bayaran saman tertunggak sebelum diluluskan.

“Selain itu, permohonan pengecualian atas faktor kesihatan hendaklah mendapat pengesahan bertulis daripada pakar perubatan kerajaan,” katanya.

Loke berkata, berdasarkan rekod, terdapat lebih 20,000 kenderaan yang menggunakan cermin gelap di negara ini dari 2011 hingga 2018, termasuk 5,469 permohonan yang diluluskan menteri.

“Sejak setahun lalu, saya menerima banyak permohonan cermin gelap daripada orang kenamaan sebab sebelum ini ia dibolehkan, tapi satu pun saya tidak luluskan. Semua surat itu akan saya hantar kepada jawatankuasa,” katanya.

Katanya, penguatkuasaan peraturan baharu itu akan bermula Ogos ini, justeru pemilik kenderaan yang menggunakan cermin gelap mempunyai tempoh tiga bulan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

bharian

Komen